KUCHING: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) mula memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13 menerusi taklimat berkaitan inisiatif kerajaan dan perancangan pembangunan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, taklimat itu penting bagi memastikan jentera parti memahami inisiatif Kerajaan Sarawak demi kepentingan rakyat.
Pemahaman mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perancangan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) juga perlu diperkukuh.
Mengulas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Rosey menyifatkan keputusan itu sebagai langkah bijaksana.
Katanya, walaupun pengumuman itu dinanti-nantikan, Abang Johari tidak terburu-buru membuat keputusan berkenaan.
“Sebaliknya, perkara itu memang sudah dijangka mengambil kira tempoh penggal dan pengiraan masa menjelang PRN Ke-13,” katanya.
Rosey berharap GPS memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya kali ini sebagai hadiah kepada Abang Johari dan Sarawak.
Mengulas kemungkinan penampilan calon muka baharu serta penyandang yang berundur, beliau berkata, perkara itu merupakan lumrah dalam politik.
“Ini lumrah. Ada wakil rakyat yang sudah lama berkhidmat dan ada yang baharu. Gandingan ini diperlukan,” katanya.



