KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap keseluruhan proses Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) Sarawak dilaksanakan dengan lancar, aman dan teratur, berlandaskan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sarawak supaya terus memelihara keharmonian, perpaduan dan kestabilan negeri sepanjang proses demokrasi berkenaan.

“Semua pihak juga perlu menghormati proses demokrasi serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh tertib, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Ini penting demi memastikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat Sarawak terus terpelihara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau menzahirkan perkara itu selepas menerima kunjungan menghadap Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Astana Negeri Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Sri Saferi Ali.
Pertemuan itu diadakan bagi membolehkan Abang Johari mempersembahkan cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri selaras dengan Perlembagaan Negeri Sarawak.
Abang Johari kemudian mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa Isnin, 26 Oktober 2026 pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi.
Pembubaran DUN ialah sebahagian daripada proses perlembagaan berkaitan pelaksanaan PRN Sarawak dan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertua Negeri serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Selepas DUN dibubarkan, proses seterusnya dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.
Untuk rekod, DUN Sarawak Ke-19 mempunyai 82 kerusi dan mula bersidang pada 14 Februari 2022 selepas PRN Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum ini menyatakan jentera gabungan itu sentiasa bersedia menghadapi PRN-13.
Ketika ini, GPS menguasai 79 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, dengan PBB mempunyai 47 kerusi, SUPP (13 kerusi), PRS (11 kerusi) dan PDP (8 kerusi).
Dua kerusi diwakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), manakala Batu Lintang diwakili ADUN Bebas, See Chee How.





