KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS), memeterai perjanjian bersyarat untuk menjual aset perniagaan jalur lebarnya kepada Maxis Broadband Sdn Bhd pada harga RM83 juta.
Maxis Broadband ialah anak syarikat milik penuh Maxis Bhd, manakala urus niaga itu dikategorikan sebagai urus niaga pihak berkaitan kerana melibatkan kepentingan pengarah, pemegang saham utama dan pihak yang berkaitan dengan mereka.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Astro menjangkakan penjualan itu selesai menjelang suku kedua 2027, tanpa mengambil kira keadaan luar jangka.
Syarikat itu menyatakan penjualan tersebut membolehkan kumpulan merealisasikan nilai aset, mengurangkan pendedahan kepada risiko operasi dan komersial, serta menjangkakan keuntungan yang mengukuhkan kedudukan tunai.
Hasil pelupusan akan digunakan sebagai modal kerja dalam tempoh 36 bulan, manakala Public Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat bebas bagi pemegang saham dan pengarah yang tidak berkepentingan seperti dilapor Bernama.





