KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang bakal menjadi penentu hala tuju pembangunan negeri untuk lima tahun akan datang, khususnya dalam fasa peralihan menuju status wilayah maju menjelang 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, rakyat perlu peka akan perancangan pembangunan masa depan Sarawak ketika membuat keputusan pada hari pengundian.
Menurutnya, keputusan pilihan raya kali ini penting kerana tempoh lima tahun akan datang ialah fasa peralihan bagi Sarawak untuk mencapai matlamat menjadi wilayah maju menjelang 2030.
“Harapan saya adalah supaya rakyat Sarawak peka akan pembangunan masa depan kerana keputusan pengundian tahun ini akan menentukan hala tuju negeri untuk lima tahun akan datang, iaitu tempoh peralihan Sarawak ke arah wilayah maju 2030,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Mengulas kemungkinan pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, beliau berkata perkara itu dibenarkan memandangkan penggal semasa dijadualkan berakhir secara automatik pada 14 Februari 2027.
“Alhamdulillah, seperti yang dijangka, disebabkan penggal ini berakhir secara automatik pada 14 Februari 2027, pembubaran awal dibolehkan,” katanya.
Azizul Annuar berkata, GPS Tanjong Datu sentiasa bersedia menghadapi PRN berdasarkan rekod prestasi memuaskan sepanjang penggal lalu.
Katanya, pilihan raya itu turut memberi peluang kepada rakyat untuk menilai prestasi wakil rakyat dan menentukan mandat baharu bagi penggal seterusnya.
“GPS Tanjong Datu sentiasa bersedia dengan rekod prestasi yang memuaskan sepanjang penggal lepas, selain memberi mandat baharu kepada rakyat untuk menilai dan memilih,” katanya.



