KUCHING: Kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat bukan bermusim atau terhad semasa pilihan raya sahaja, sebaliknya satu tanggungjawab berterusan sebagai wakil rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh.
Menurutnya, persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang bukan sekadar tertumpu kepada strategi kempen.
“Tetapi, turut merangkumi usaha berterusan memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Bagaimanapun, kesediaan saya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat tidak bermusim. Bukan untuk masa pilihan raya sahaja,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.
Mengulas pengumuman pembubaran DUN Sarawak pada Isnin depan, beliau menyambut baik pengumuman Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menghormati proses demokrasi berperlembagaan.
Menurutnya, pembubaran itu memberi ruang kepada rakyat Sarawak untuk menentukan hala tuju masa depan negeri ini, selain menilai pencapaian dan memperkukuh komitmen terhadap pembangunan Sarawak.
“Tumpuan utama sebagai wakil rakyat ialah memastikan aspirasi masyarakat di peringkat akar umbi dapat direalisasikan secara menyeluruh.
“Khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur, pendidikan, kebajikan, peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pengundi, khususnya golongan muda, supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam proses demokrasi itu,” tegasnya.
Len turut meluahkan harapan agar pelaksanaan pilihan raya kali ini berlangsung dengan lancar, aman dan berintegriti.
“Kita mahukan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat, sekali gus membolehkan usaha memajukan Sarawak dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Maka, rakyat perlu membuat pilihan secara bijak demi masa depan Sarawak yang lebih maju, inklusif dan sejahtera, dengan perpaduan rakyat terus diberi keutamaan,” katanya.




