KUCHING: Selepas lima tahun mentadbir, kerajaan Sarawak perlu memberi laluan kepada pilihan raya baharu bagi membolehkan rakyat menentukan mandat seterusnya, kata ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad.
Beliau berkata, hak memilih kerajaan terletak di tangan rakyat dalam sistem demokrasi yang dijalankan setiap lima tahun, selaras dengan peruntukan perlembagaan negeri dan negara.
“Dalam konteks ini, kerajaan Sarawak sekarang telah mencapai tempoh lima tahun maka perlulah dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya baharu dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi SuaraSarawak.
Safiee berkata, jentera parti sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan gerak kerja yang dikemas kini.
Menurutnya, rekod pencapaian sepanjang penggal lalu akan menjadi bukti kesungguhan parti dalam melaksanakan amanah rakyat, khususnya membawa pembangunan serta memajukan kawasan dan negeri.
Beliau berharap PRN akan datang dapat dilaksanakan secara profesional, aman dan harmoni dengan semua pihak mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
“Mana-mana isu yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan kaum dan agama perlu dielakkan,” katanya.
Safiee turut mengingatkan rakyat supaya membuat pilihan secara rasional dan tidak mengikut emosi, dengan mengambil kira masa depan Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai rekod pencapaian yang baik serta mencapai pelbagai kejayaan sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Katanya, pembangunan dan kemajuan juga dapat dinikmati semua lapisan rakyat menerusi dasar yang dilaksanakan secara inklusif.
Safiee turut menyeru rakyat supaya keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Jangan terlalu yakin calon yang disokong tetap menang kerana kalau tidak keluar mengundi, tidak mungkin calon tersebut akan menang,” katanya.





