KUCHING: Gabungan pengalaman wakil rakyat sedia ada dan idea calon muka baharu penting bagi memastikan kepimpinan terus berkembang serta memenuhi keperluan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kemunculan calon baharu dapat membawa perspektif, tenaga dan pendekatan berbeza, manakala pengalaman wakil rakyat sedia ada membantu mereka memahami keperluan masyarakat serta cabaran melaksanakan pembangunan.
“Pada pandangan saya, muka baharu bukan semestinya lebih baik hanya kerana mereka baharu, dan muka lama bukan semestinya lebih baik hanya kerana mereka berpengalaman.
“Apa yang paling penting ialah integriti, keupayaan, kesungguhan, rekod perkhidmatan dan komitmen untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi,” katanya ketika dihubungi SuaraSarawak.
Menurutnya, pembaharuan kepimpinan penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti politik, selain membuka ruang kepada pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan.
“Kita memerlukan gabungan pengalaman dan pembaharuan. Pengalaman memberikan panduan, manakala idea baharu membuka peluang kepada pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan,” katanya.
Mengulas wakil rakyat yang memilih untuk mengundur diri, Billy berkata, keputusan itu perlu dihormati kerana setiap individu mempunyai pertimbangan tersendiri dalam perjalanan perkhidmatan politik.
“Bagi saya, politik bukan tentang memegang jawatan selama-lamanya. Politik ialah tentang amanah yang diberikan dan sumbangan yang mampu kita tinggalkan kepada masyarakat.
“Jawatan ialah amanah, bukan hak milik kekal. Mandat rakyat ialah kepercayaan, bukan keistimewaan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan calon ialah keputusan parti masing-masing melalui proses sewajarnya, manakala keputusan akhir bagi calon GPS tertakluk kepada pertimbangan Premier Sarawak dan kepimpinan parti.
Dalam perkembangan berkaitan PRN, Billy berkata, persiapan menghadapi pilihan raya tidak sepatutnya bermula hanya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya tanggungjawab wakil rakyat perlu dilaksanakan sejak hari pertama menerima mandat.
Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatan, tumpuannya ialah mendekati masyarakat, mendengar permasalahan penduduk serta memantau keperluan pembangunan di kawasan DUN Opar.
Beliau berkata, keperluan berkaitan kemudahan asas, infrastruktur, jalan raya, bekalan air dan elektrik, peluang ekonomi serta pembangunan luar bandar masih memerlukan perhatian berterusan.
“Rakyat hari ini semakin matang. Mereka mahu melihat hasil, kesungguhan dan komitmen, bukan sekadar mendengar janji ketika musim pilihan raya.
“Bagi saya, kempen terbaik seorang wakil rakyat ialah rekod khidmatnya kepada rakyat. Jentera pilihan raya penting, tetapi kepercayaan rakyat jauh lebih penting,” katanya.
Billy berharap PRN akan datang berlangsung secara aman, teratur dan demokratik, dengan semua parti serta calon berkempen secara matang berdasarkan fakta, idea dan tawaran pembangunan yang realistik.
Beliau turut mengingatkan supaya perbezaan politik tidak menjadi punca perpecahan dalam masyarakat, sebaliknya perpaduan terus dipelihara demi pembangunan Sarawak.
Katanya, kejayaan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar perlu dinilai berdasarkan perubahan sebenar dalam kehidupan rakyat, termasuk akses kepada kemudahan asas yang lebih baik, bekalan air dan elektrik yang terjamin serta peluang ekonomi yang lebih luas.





