KOTA SAMARAHAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd. Azri Johari menegaskan, kemenangan dan lebihan jaringan menjadi fokus pasukannya ketika berdepan juara musim lepas, Bintulu dalam aksi separuh akhir pertama di Kompleks Sukan Asajaya petang esok (Sabtu).
Bagi merealisasikan misi tersebut, Azri menagih komitmen jitu barisan pemainnya sepanjang mengharungi tempoh 90 minit di laman sendiri esok.
“Kepada semua pemain, anda harus fokus. Berikan komitmen sepenuhnya sepanjang perlawanan,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Azri, perlawanan petang esok ibarat aksi final kedua bagi pasukannya.
Justeru, beliau berharap musibah yang menimpa pemainnya pada final edisi pertama sebelum ini tidak berulang.
“Ingat tiga perkara, sentiasa kekal fokus, bijak menyerap tekanan dan yang paling penting harus bijak memanfaatkan peluang yang terhidang,” tambah Azri.
Beliau mengakui perlawanan esok dijangka penuh mencabar dan dramatik.
Oleh itu, beliau percaya pengemudi Samarahan, Ideris Untong sudah menyediakan strategi khas untuk pemainnya.
Sebelum itu, Azri menyeru warga Samarahan hadir beramai-ramai ke Kompleks Sukan Asajaya petang esok untuk memberi sokongan kepada pemain.





