KUCHING: Penentuan calon yang akan membawa panji Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan melalui spekulasi, sebaliknya terletak pada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pemilihan calon terletak di tangan Premier Sarawak dan presiden parti komponen GPS masing-masing melalui proses kepimpinan parti yang ditetapkan.
“Tidak banyak manfaat daripada spekulasi yang tidak perlu, khususnya berkaitan pemilihan calon. Keputusan sedemikian sebaiknya diserahkan kepada kebijaksanaan dan pertimbangan kepimpinan tertinggi kita,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Beliau berkata, keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pula ialah prerogatif Premier, tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak (TYT) mengikut proses perlembagaan.
Ahmad berkata, semua pihak seharusnya kekal fokus pada perkara yang lebih penting, khususnya mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak serta berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, keutamaan juga perlu diberikan kepada usaha memastikan kemajuan, kestabilan dan kemakmuran Sarawak terus terpelihara.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan, mengekalkan perpaduan dan disiplin serta terus bekerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Pada akhirnya, perkara ini bukan mengenai mana-mana individu, tetapi mengenai Sarawak, masa depannya dan kesejahteraan rakyat kita,” katanya.




