ARTIKEL

Suntikan RM1.4 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek naik taraf Terminal Penumpang Bako bernilai RM1.4 juta kini mencapai kemajuan 38 peratus, mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 8.7 peratus.

Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak, Dr Safiee Ahmad berkata, projek yang bermula pada Julai lalu itu dijadualkan siap pada Julai 2027, namun kontraktor memberikan jaminan kerja berkenaan dapat diselesaikan lebih awal.

“Projek ini penting bagi meningkatkan keselesaan pelancong yang menggunakan terminal berkenaan untuk ke Taman Negara Bako.

“Berdasarkan taklimat yang disampaikan, pihak kontraktor memberi jaminan akan dapat menyiapkannya lebih awal daripada jadual dan perkara ini amat kita alu-alukan,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek pembinaan pontun di Terminal Penumpang Bako di sini, semalam.

Beliau berkata, kerja naik taraf itu turut merangkumi penggantian sebuah pontun yang rosak serta penambahbaikan kemudahan sedia ada, termasuk bangunan terminal dan hentian bas.

“Apabila siap sepenuhnya nanti, kita bukan sahaja membaiki kerosakan sebelum ini, tetapi turut menaik taraf keseluruhan kemudahan serta meningkatkan kecemerlangannya bagi memberikan imej yang baik kepada Sarawak sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, terminal itu turut menjadi tumpuan pengusaha bot yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong ke taman negara berkenaan.

“Kira-kira 70 bot berdaftar dengan persatuan pengusaha bot, dengan sekitar 50 daripadanya beroperasi secara aktif.

“Dengan kemudahan pontun yang ditambah baik, kita berharap pengurusan pergerakan bot dapat berjalan dengan lebih teratur, selain menyediakan ruang menunggu yang lebih selesa kepada pelancong sementara menunggu giliran mereka,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama pengusaha bot sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi memastikan kerja naik taraf berjalan lancar meskipun perkembangan itu membulkan sedikit ketidakselesaan kepada pengguna terminal.

BERITA LAIN

Dua pelajar berani bantu guru cedera

KUCHING: Dua pelajar sebuah sekolah swasta di sini menunjukkan keberanian apabila tampil membantu seorang guru wanita yang cedera ketika cuba merampas objek tajam daripada seorang

BERITA TERBARU

Fazura tidak tolak soal jodoh

Pelakon terkenal, Fazura, atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, mengakui bahawa pelakon Que Haidar merupakan antara lelaki yang paling rapat dengannya ketika ini, sekali gus

Dakwah tanggungjawab bersama

ISLAM merupakan agama yang menyeru manusia ke arah kebaikan dan keredaan Allah SWT. Tanggungjawab menyebarkan ajaran Islam bukan terletak pada bahu para ustaz, pendakwah atau