KUCHING: Kuching City FC belum mengibarkan bendera putih dalam perebutan tiket final Piala FA 2026-2027 walaupun tewas tipis 1-2 di tangan Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak tetap optimistik skuad The Cats mampu membalikkan keputusan agregat apabila menerima kunjungan Selangor pada aksi timbal balik di Stadium Taha Ariffin, 8 November depan.

“Kita pernah berada dalam situasi seperti ini sebelum ini. Dalam bola sepak, perkara paling penting ialah kekal positif dan terus memberikan kepercayaan kepada pemain.
“Kita masih mempunyai peluang apabila kembali beraksi di Kuching dan sudah tentu kita akan memberikan segala-galanya untuk mendapatkan keputusan yang diperlukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada pertembungan itu, Kuching City terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Ramadhan Saifullah Usman seawal minit kesembilan hasil gerakan solo, sebelum Selangor bangkit dengan dua gol menerusi Eduardo Sosa untuk memastikan kemenangan 2-1.
Mengulas persembahan anak buahnya, Aidil mengakui berpuas hati dengan komitmen pemain yang berjaya melaksanakan sebahagian besar perancangan taktikal, khususnya ketika mengasak benteng pertahanan Selangor pada separuh masa kedua.
“Pemain sudah memberikan segala-galanya malam ini. Kedua-dua pasukan bermain secara menyerang dan kita berjaya melaksanakan perancangan sehingga menyukarkan pihak lawan, terutama selepas memperoleh gol pertama.

“Pada separuh masa kedua, permainan menjadi lebih terbuka dan kita mencipta beberapa peluang baik menerusi Jerome Mpacko Etame serta Dylan Wenzel-Halls. Gabriel Peres juga hampir menjaringkan gol pada penghujung perlawanan, tetapi kita kurang bernasib baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui ketumpulan penyudah menjadi antara faktor The Cats gagal memperoleh keputusan lebih baik, selain memuji ketangkasan penjaga gol Selangor yang berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya.
Aidil menjelaskan, ketiadaan Ajdin Mujagic akibat penggantungan serta Ronald Ngah yang masih dibelenggu kecederaan memaksanya melakukan penyesuaian di bahagian serangan dengan meletakkan Jerome sebagai penyerang tunggal.
“Kita mempunyai perancangan alternatif dan menggunakan Jerome sebagai penyerang tunggal. Dylan pula memberikan impak baik selepas dimasukkan pada separuh masa kedua, termasuk mencipta peluang satu lawan satu, tetapi penjaga gol mereka berjaya menyelamatkan keadaan,” katanya.
Dalam aspek pertahanan, Aidil mengakui tahap tumpuan pemain perlu dipertingkatkan, namun menyifatkan kepulangan kapten pasukan, James Okwuosa selepas pulih daripada kecederaan sebagai perkembangan positif buat Kuching City.
“Bukan mudah mengekalkan tumpuan sepanjang 90 minit apabila pemain perlu mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh singkat. Bagaimanapun, saya gembira James kembali beraksi kerana kehadirannya memberikan tambahan kekuatan kepada pasukan,” katanya.
Mengulas cabaran jadual padat, Aidil menegaskan penggiliran pemain perlu diteruskan bagi mengimbangi tuntutan beberapa kejohanan, terutama mengambil kira kemudahan pemulihan The Cats yang masih belum setanding kelab lebih besar seperti Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kita bukan kelab terbesar yang mempunyai kemudahan dan sistem pemulihan terbaik. Kuching City masih dalam proses pembangunan dan ini baru tahun kedua saya bersama pasukan, tetapi kita sudah mampu bersaing pada tahap lebih tinggi. Kita perlu terus matang, mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya dari semasa ke semasa,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan The Cats perlu memburu kemenangan sekurang-kurangnya dua gol pada aksi separuh akhir kedua, 8 November depan, untuk mara ke final dalam masa permainan biasa.
Sementara itu, kemenangan dengan kelebihan satu gol akan menyamakan agregat dan memerlukan penentuan lanjut mengikut peraturan pertandingan.






