MIRI: Cadangan memperkenalkan bidang Kejuruteraan Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Curtin Malaysia dikemukakan kepada majlis universiti berkenaan bagi memperkukuh usaha melahirkan tenaga mahir dalam teknologi baharu, sejajar dengan keperluan pembangunan ekonomi Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, beliau mengemukakan cadangan itu baru-baru ini susulan perkembangan pesat teknologi AI yang semakin penting dalam pelbagai sektor.

“Generasi muda perlu menguasai ilmu dan kemahiran berkaitan teknologi baharu bagi memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
“Sekarang kita menggunakan AI. Inilah zaman AI. Jadi, kita semua perlu mengikuti perkembangannya dan membuat persiapan,” katanya ketika berucap pada majlis bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lopeng Tengah, di sebuah hotel di sini, pagi tadi.

Lee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Curtin Malaysia berkata, penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain bahasa Inggeris, ialah asas penting kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi.
Beliau turut mengingatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya memberikan tumpuan kepada persediaan peperiksaan kerana pencapaian cemerlang mampu membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Curtin Malaysia pada 28 September lalu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan DriverAI (Malaysia) Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang AI, pengkomputeran kuantum dan kejuruteraan termaju.

Kerjasama itu turut merangkumi penyelidikan dan pembangunan bakat, sekali gus memperluas penglibatan universiti berkenaan dalam bidang teknologi baharu.
Sehari kemudian, Curtin Malaysia turut memeterai 41 MoU dengan sekolah menengah di utara Sarawak bagi memperluas kerjasama pendidikan, khususnya dalam bidang STEM, pembangunan guru dan pendedahan kepada peluang pendidikan tinggi.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak pada Jun 2024 meluluskan peruntukan RM25 juta bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Digital di Curtin Malaysia.
Ketika mengumumkan peruntukan itu, Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyuarakan harapan supaya pusat berkenaan merangkumi bidang kejuruteraan, tenaga, AI dan pusat data.
Sementara itu, Lee berkata, pembangunan ekonomi digital dan ekonomi hijau yang antara tumpuan Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.
“Penggunaan teknologi baharu seperti sistem Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen menunjukkan kepentingan penguasaan sains dan kejuruteraan dalam menyokong pembangunan negeri.
“Sehubungan itu, generasi muda Sarawak digalakkan supaya merebut peluang pendidikan serta mendalami bidang teknologi dan penyelidikan agar dapat menyumbang kepada kemajuan negeri pada masa hadapan,” katanya.






