ARTIKEL

Dakwah tanggungjawab bersama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ISLAM merupakan agama yang menyeru manusia ke arah kebaikan dan keredaan Allah SWT.

Tanggungjawab menyebarkan ajaran Islam bukan terletak pada bahu para ustaz, pendakwah atau golongan agamawan semata-mata.

Sebaliknya, setiap umat Islam mempunyai peranan dalam menyampaikan kebaikan mengikut kemampuan masing-masing. Dakwah bukan sekadar ceramah di masjid, malah merangkumi nasihat, penulisan, perbuatan dan akhlak mulia yang mencerminkan keindahan Islam.

Hal ini sekali gus menafikan dakwaan setengah pihak bahawa hanya mereka yang mempunyai kaedah dakwah yang betul.

Mereka juga beranggapan kaedah dakwah yang lain tidak menepati pendekatan dakwah Rasulullah SAW. Sikap sedemikian perlu diperbetulkan kerana seolah-olah menafikan usaha yang dilakukan oleh para pejuang agama daripada pelbagai bidang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 104)

Ayat ini menjelaskan kepentingan usaha dakwah dalam membentuk masyarakat yang beriman, berakhlak dan menjauhi kemungkaran.

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah menyedari dirinya mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada kebaikan masyarakat berdasarkan ilmu dan kemampuan yang dimiliki.

Dakwah tugas mulia

Dakwah merupakan amalan yang sangat mulia kerana bertujuan membimbing manusia mengenali Allah SWT, melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Individu yang terlibat dalam usaha dakwah bukan sahaja membantu memperbaiki kehidupan orang lain, malah turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan berakhlak mulia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan usaha mengajak manusia melakukan kebaikan mempunyai ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Seseorang Muslim boleh menjadi pendakwah dengan mengajak ahli keluarganya menunaikan solat, menasihati rakan agar meninggalkan maksiat, membantu golongan yang memerlukan dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

Bagaimanapun, dakwah hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah, kesabaran dan adab. Pendakwah tidak seharusnya menghina, mencaci atau merendahkan orang yang melakukan kesalahan.

Sebaliknya, pendekatan yang lemah lembut dan bijaksana lebih berpotensi membuka hati manusia untuk menerima kebenaran. Dakwah yang baik bukan bertujuan untuk menunjukkan kehebatan diri, tetapi untuk mengajak manusia bersama-sama menuju keredaan Allah SWT.

Warisan perjuangan para nabi dan rasul

Tugas menyeru manusia kepada Allah SWT merupakan perjuangan yang diwarisi daripada para nabi dan rasul.

Mereka diutuskan untuk membimbing manusia keluar daripada kesesatan menuju petunjuk Allah SWT.

Rasulullah SAW sendiri mengorbankan masa, tenaga dan harta dalam menyampaikan risalah Islam kepada manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhannu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Ayat ini menggariskan dakwah perlu dilaksanakan dengan kebijaksanaan, nasihat yang baik dan perbincangan secara beradab.

Pendakwah juga perlu memahami keadaan masyarakat agar mesej yang disampaikan bersesuaian dengan tahap pemikiran dan keperluan mereka.

Walaupun bukan semua umat Islam mampu menyampaikan ceramah atau menguasai pelbagai bidang ilmu agama, setiap orang boleh menyumbang kepada usaha dakwah melalui peranan masing-masing.

Ibu bapa mendidik anak-anak dengan ajaran Islam, guru membimbing murid dengan ilmu, manakala peniaga menunjukkan keindahan Islam melalui kejujuran dan sikap amanah.

Kesimpulannya, setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan kebaikan mengikut kemampuan dan ilmu yang dimiliki.

Marilah kita menjadikan kehidupan seharian sebagai medan dakwah agar keindahan Islam dapat dirasai oleh keluarga, masyarakat dan seluruh manusia.

BERITA LAIN

Jangan salah guna media sosial

MEDIA sosial kini menjadi bahagian penting dalam kehidupan masyarakat moden. Platform seperti Facebook, TikTok, Instagram, YouTube, WhatsApp dan X membolehkan orang ramai berkomunikasi, berkongsi maklumat,

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat

BERITA TERBARU

Samarahan mahu bekalan gol selesa di Asajaya

Pasukan itu turun dengan misi memastikan kemenangan selain cuba mencetak lebihan gol sebagai bekalan menghadapi aksi timbal balik di gelanggang lawan pada 31 Oktober nanti.