Pasukan itu turun dengan misi memastikan kemenangan selain cuba mencetak lebihan gol sebagai bekalan menghadapi aksi timbal balik di gelanggang lawan pada 31 Oktober nanti.
Rentetan daripada itu, pengendali pasukan, Ideris Untong menuntut anak-anak buahnya agar tampil dengan disiplin tinggi selain sentiasa fokus sepanjang perlawanan.
“Fokus utama kita petang ini, cuba meraih kemenangan dan memastikan lebihan gol dapat diperoleh sebagai bekalan aksi timbal balik nanti,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.
Pengemudi kelahiran Kampung Sebandi Matang itu melihat tiada jalan mudah untuk pemainnya menuju ke arah sasaran tersebut.
Beliau mengakui Bintulu akan tampil dengan misi sama yang pasti menjurus kepada mutu permainan berbeza.
“Aksi petang esok pasti berbeza dan saya ingatkan kepada semua pemain agar sentiasa berwaspada.
“Pertemuan petang esok ibarat final ulangan musim lepas, jadi kami tidak rela musibah lalu berulang kembali,” tegasnya.
Ideris bagi tempoh 90 minit pertama esok akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk mengimbangi gelora juara Zon Utara itu.





