Ferrari bakal tampil dengan penampilan berbeza pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di Litar Amerika (COTA), Austin, apabila Lewis Hamilton dan Charles Leclerc akan mengenakan sut perlumbaan yang didominasi warna putih, berbeza daripada warna merah yang sinonim dengan pasukan itu.
Kedua-dua pemandu Ferrari itu turut memakai kasut perlumbaan berwarna putih sepanjang hujung minggu perlumbaan, manakala panel belakang sut yang memaparkan logo Ferrari dan nama pemandu juga menggunakan warna yang sama.
Rekaan istimewa itu dipercayai menjadi petunjuk kepada pelancaran livery khas Ferrari SF-26 hasil kerjasama dengan penaja utama pasukan itu, HP, sempena perlumbaan yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini.
Minggu lalu, Ferrari dan HP berkongsi video acah yang membayangkan pengenalan rekaan khas bagi jentera pasukan itu di Austin.
Video yang memaparkan sut perlumbaan Leclerc dan Hamilton itu turut disertakan dengan kapsyen “HP Special Livery USA Grand Prix Circuit Of The Americas (C.O.T.A) 25/10/2026”, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai penampilan baharu jentera Ferrari pada hari perlumbaan.

Ferrari sebelum ini beberapa kali memperkenalkan rekaan khas bagi perlumbaan tertentu, dengan pakaian pemandu sering memberikan petunjuk awal tentang konsep yang bakal ditampilkan.
Pada GP Miami 2024, Ferrari merakan kerjasama dengan HP menerusi livery merah dengan aksen biru, manakala kedua-dua pemandunya memakai pakaian perlumbaan berwarna biru yang diinspirasikan oleh pakaian kru pit pasukan itu pada era terdahulu.
Kerjasama itu diteruskan pada GP Miami 2025 menerusi rekaan jentera yang menggabungkan warna biru dan putih pada bahagian penutup enjin serta belakang jentera, selain penggunaan elemen biru pada sayap hadapan dan belakang serta rim berwarna putih.
Terbaharu, Ferrari menggunakan GP Itali di Monza pada September 2026 untuk memberikan penghormatan kepada legenda pasukan itu, Michael Schumacher, sempena ulang tahun ke-30 penyertaannya bersama Ferrari.
Rekaan jentera ketika itu diinspirasikan oleh model F310 yang digunakan Schumacher pada 1996, dengan tujuh bintang putih pada bahagian muncung jentera sebagai penghormatan kepada tujuh gelaran dunia yang dimenanginya.
Rim jentera itu turut dihiasi perincian berwarna emas, manakala sut pemandu menampilkan tujuh bintang dan logo Schumacher.
Selain Ferrari, beberapa pasukan lain turut merancang penampilan istimewa bagi perlumbaan di Austin.
Haas bakal menggunakan livery bertemakan Godzilla sempena perlumbaan di laman sendiri, manakala Red Bull Racing turut memperkenalkan rekaan khas untuk pemandunya bagi GP Amerika Syarikat.





