MEDIA sosial kini menjadi bahagian penting dalam kehidupan masyarakat moden.
Platform seperti Facebook, TikTok, Instagram, YouTube, WhatsApp dan X membolehkan orang ramai berkomunikasi, berkongsi maklumat, mengikuti perkembangan semasa serta menghasilkan kandungan digital dengan pantas.
Sebahagian besar rakyat Malaysia memiliki sekurangkurangnya satu akaun media sosial.
Dan, dengan kemudahan capaian Internet yang semakin baik serta kemampuan memiliki telefon pintar, masyarakat pelbagai lapisan, sama ada di bandar mahupun luar bandar, kini lebih mudah mengakses media sosial hanya dengan satu sentuhan.
Berdasarkan dapatan kajian, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar penggunaan media sosial yang tinggi di Asia Tenggara.
Purata masa dihabiskan untuk menggunakan media sosial juga dilaporkan antara yang tertinggi, sekali gus menjadikan platform digital sebahagian daripada gaya hidup harian rakyat.
Facebook misalnya, digunakan untuk berkongsi berita, pengumuman komuniti, gambar, video dan aktiviti organisasi.
Di Malaysia, jumlah pengguna Facebook dilaporkan mencecah 31,860,100 orang, iaitu kira-kira 31.86 juta pengguna atau bersamaan dengan 88.8 peratus daripada keseluruhan penduduk negara berdasarkan data yang dinyatakan.
Sementara itu, setakat September lalu, jumlah pengguna Instagram di Malaysia dianggarkan sekitar 17.06 juta, mewakili 47.5 peratus daripada keseluruhan populasi negara.
TikTok pula menjadi pilihan pengguna untuk menghasilkan video pendek, kandungan kreatif, hiburan dan pendidikan.
Oleh itu, tidak hairanlah jumlah pengguna TikTok di Malaysia dianggarkan mencecah 30.7 juta berdasarkan data pengiklanan dan jangkauan digital terkini.
Jika dilihat dari segi kategori umur, kebanyakan data yang tersedia merangkumi pengguna berusia 18 tahun ke atas, dengan penggunaan ketara dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) dan golongan belia berusia bawah 34 tahun.
Sementara itu, WhatsApp merupakan antara aplikasi pemesejan yang paling popular di Malaysia.
Berdasarkan data pasaran yang dipetik daripada DataReportal dan kajian Meta, WhatsApp dilaporkan menguasai 80.1 peratus bahagian pasaran aplikasi pemesejan di Malaysia, manakala 90.7 peratus daripada keseluruhan pengguna Internet di negara ini menggunakan aplikasi berkenaan setiap bulan.
Dengan jumlah pengguna Internet di Malaysia yang dianggarkan melebihi 30 juta orang, bilangan pengguna aktif WhatsApp dianggarkan berada dalam lingkungan 27 juta hingga 30 juta orang.
Bagi saya sendiri, setakat ini hanya tiga platform media sosial yang digunakan secara aktif, iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp.
WhatsApp menjadi antara medium utama untuk melaksanakan urusan pekerjaan dan berkomunikasi, manakala Facebook serta Instagram digunakan untuk bersosial dan mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan semasa.
Guna secara bijak
Media sosial mempunyai dua sisi yang berbeza.
Jika digunakan secara bijak, platform ini mampu memberikan manfaat besar kepada individu, organisasi dan masyarakat.
Sebaliknya, penggunaan tanpa kawalan boleh mengundang pelbagai kesan negatif, termasuk penyebaran maklumat palsu, penipuan dalam talian, buli siber serta masalah yang menjejaskan kesejahteraan diri.
Antara contoh penyalahgunaan media sosial adalah menerusi kes yang dilaporkan pada 10 Oktober lalu apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan yang disyaki menghina agama Islam yang dimuat naik menerusi Facebook.
Kandungan berkenaan dikaitkan dengan penggunaan perkataan “lighad” yang merujuk kepada ayat 18, surah al-Hashr, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu.
Kandungan itu didakwa mempersenda ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Terbaharu, pada 18 Oktober lalu, MCMC memulakan siasatan susulan aduan berhubung kandungan yang dimuat naik menerusi platform media sosial Threads yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan. Kandungan berkenaan menyentuh isu berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Sebagai sebahagian proses siasatan, MCMC merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan.
Sebuah telefon bimbit berserta eSIM turut disita bagi membantu siasatan dan menjalani analisis forensik. Kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Kedua-dua kes ini memperlihatkan kepentingan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab, khususnya apabila membincangkan perkara sensitif yang melibatkan agama dan institusi diraja.
Berita palsu
Selain kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat, antara keburukan media sosial ialah penyebaran berita palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Maklumat tidak benar, gambar yang diubah suai dan video yang disebarkan di luar konteks boleh tersebar dengan pantas sehingga mengelirukan masyarakat, menjejaskan reputasi seseorang serta mencetuskan suasana panik.
Oleh itu, setiap pengguna perlu lebih berhati-hati ketika menerima, menghasilkan atau berkongsi sesuatu kandungan di media sosial. Kesimpulannya, amalkan sikap menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi.
Pastikan setiap maklumat diperoleh daripada sumber boleh dipercayai, terutamanya berita berkaitan kecemasan, kesihatan dan dakwaan yang menyentuh isu sensitif.
Dalam masa yang sama, setiap pengguna perlu berkomunikasi secara berhemah dengan mengelakkan penghinaan, tnah, ancaman serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan orang lain.
Media sosial seharusnya menjadi medium untuk menyebarkan ilmu, berkongsi maklumat yang bermanfaat dan mengeratkan hubungan masyarakat, bukannya ruang untuk mencetuskan perselisihan, menyebarkan kebencian atau menjejaskan keharmonian negara.





