KUCHING: Orang ramai diminta tidak memuat naik atau menyebarkan video kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang didakwa mencederakan guru wanita di sebuah sekolah swasta di sini, bagi melindungi privasi serta maruah semua pihak terlibat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penyebaran rakaman itu boleh menyebabkan tekanan emosi tambahan, mendedahkan individu terbabit kepada gangguan dalam talian dan menjejaskan privasi mereka.
“Media sosial tidak seharusnya menjadi platform untuk memalukan individu atau menghukum seseorang berdasarkan pandangan umum sebelum fakta kejadian diketahui sepenuhnya.
“Orang ramai diminta mengawal diri, mengelakkan spekulasi dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa berbanding menyebarkan rakaman itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Fatimah, keselamatan dan kebajikan warga sekolah mesti menjadi keutamaan, dengan guru berhak menjalankan tugas dalam persekitaran selamat, manakala murid perlu dapat belajar tanpa rasa takut akan keganasan atau ancaman.
Beliau turut menegaskan, sebarang kejadian membabitkan keganasan atau penggunaan senjata perlu dipandang serius dan ditangani sewajarnya demi melindungi seluruh komuniti sekolah.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menghukum, melabel atau memalukan remaja terbabit tanpa memahami keadaan yang melatari kejadian itu.
Menurutnya, tindakan tingkah laku yang memudaratkan perlu diseimbangkan dengan pendekatan berhemah, termasuk memastikan remaja berkenaan mendapat bimbingan dan sokongan sewajarnya.
Fatimah turut membangkitkan kebimbangan kenyataan yang dilaporkan dimuat naik remaja itu di Facebook, yang menggambarkan perasaan kesunyian dan ketiadaan tempat bergantung.
Katanya, orang ramai tidak seharusnya membuat andaian keadaan yang dilalui remaja itu. Luahan perasaan terasing tidak wajar dipandang ringan kerana setiap kanak-kanak berhak berasa dihargai, didengari dan mendapat sokongan.
Jelasnya, tanggungjawab masyarakat bukan sahaja memastikan keselamatan guru dan murid, tetapi juga membantu golongan muda yang berdepan kesukaran mendapatkan sokongan untuk meneruskan kehidupan secara positif.
Fatimah turut menegaskan, seseorang remaja tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan satu insiden, tanpa mengabaikan keselamatan serta kebajikan guru dan murid lain yang terjejas.
Justeru, beliau memberitahu, kementeriannya komited memupuk persekitaran yang mengutamakan keselamatan, maruah, belas ihsan dan akauntabiliti, dengan setiap pihak dilayan secara adil serta berlandaskan fakta.




