KUCHING: Projek naik taraf Terminal Penumpang Bako bernilai RM1.4 juta kini mencapai kemajuan 38 peratus, mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 8.7 peratus.
Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Dr Safiee Ahmad berkata, projek yang bermula pada Julai lalu itu dijadualkan siap pada Julai 2027, namun kontraktor memberi jaminan kerja berkenaan dapat diselesaikan lebih awal.
“Projek ini penting bagi meningkatkan keselesaan pelancong yang menggunakan terminal berkenaan untuk ke Taman Negara Bako.

“Berdasarkan taklimat yang disampaikan, pihak kontraktor memberi jaminan akan dapat menyiapkannya lebih awal daripada jadual dan perkara ini amat kita alu-alukan,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek pembinaan pontun di Terminal Penumpang Bako di sini, semalam.
Beliau berkata, kerja naik taraf itu turut merangkumi penggantian sebuah pontun yang rosak serta penambahbaikan kemudahan sedia ada, termasuk bangunan terminal dan hentian bas.
Beliau berkata, terminal itu turut menjadi tumpuan pengusaha bot yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong ke taman negara berkenaan.
“Kira-kira 70 bot berdaftar dengan persatuan pengusaha bot, dengan sekitar 50 daripadanya beroperasi secara aktif.
“Dengan kemudahan pontun yang ditambah baik, kita berharap pengurusan pergerakan bot dapat berjalan dengan lebih teratur, selain menyediakan ruang menunggu yang lebih selesa kepada pelancong sementara menunggu giliran mereka,” katanya.
Beliau turut meminta kerjasama pengusaha bot sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi memastikan kerja naik taraf berjalan lancar meskipun berkemungkinan menimbulkan sedikit ketidakselesaan kepada pengguna terminal.




