KUCHING: Kejohanan Tinju Siri (JAB 101 Amatur) 2026 bermula esok (Jumaat) hingga Sabtu menyaksikan penyertaan seramai 190 petinju.
Pengerusi kejohanan, Zurkarnain Majidi berkata, kejohanan dua hari itu bertempat di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu.
Menurut Zukarnain, himpunan petinju terbabit mewakili 24 kelab termasuk dari negara jiran, Brunei Darussalam.
Beliau menegaskan, lapan kategori dipertandingkan mencakupi bawah 9, 11, 13, 15, 17, 19, 21 dan kategori terbuka.
“Kita menjangkakan aksi sengit diperaga petinju terlibat untuk dua hari itu kelak.
“Difahamkan kelab terlibat turut diperkuat barisan petinju berbakat,” ujar Zulkarnain kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, kejohanan terbabit dianjurkan oleh Persatuan Tinju Bahagian Sibu dengan sokongan Persekutuan Tinju Malaysia, Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Zurich Malaysia General Insurance.





