KUCHING: Bilangan pelancong bagi setiap bot yang membawa penumpang ke Taman Negara Bako berkemungkinan dihadkan ketika musim tengkujuh bagi mengurangkan risiko keselamatan akibat keadaan laut bergelora.
Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Dr Safiee Ahmad berkata, cadangan itu akan diteliti berdasarkan saiz bot sebelum notis dikeluarkan kepada pengusaha bot dan pengunjung.

“Musim tengkujuh biasanya dikaitkan dengan ombak besar, jadi kita akan melihat keperluan untuk mengehadkan bilangan pelancong bagi setiap bot berdasarkan saiznya.
“Langkah berkenaan penting bagi mengurangkan risiko ketika berdepan ombak besar, sekali gus melindungi keselamatan pengusaha bot dan penumpang,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek pembinaan pontun di Terminal Penumpang Bako di sini, hari ini.

Safiee berkata, aspek keselamatan perlu diberikan keutamaan oleh semua pihak, khususnya pengusaha bot yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong ke Taman Negara Bako.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha bot supaya memastikan semua penumpang memakai jaket keselamatan sepanjang perjalanan.

Katanya, sumbangan jaket keselamatan turut disampaikan kepada pengusaha bot sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan kesedaran kepentingan keselamatan ketika membawa penumpang.
Beliau berharap semua pengusaha bot mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan pelancong ke destinasi berkenaan berjalan dengan selamat, khususnya sepanjang musim tengkujuh.





