ARTIKEL

Bukan sekadar kisah cinta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan?

Penulis: Auni Zainal

Tahun terbit: 2024

Jumlah muka surat: 544

Harga: Rm34.00

Pengulas: Prisca Robin 

Setebal 544 muka surat, Kita Cuma Kawan, Kan?

karya Auni Zainal bukan sekadar sebuah novel yang mengangkat kisah percintaan dua anak muda.

Di sebalik hubungan antara Yulia dengan Adam, karya ini menyajikan persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan, termasuk pengorbanan, kehilangan, keluarga, tekanan hidup serta keberanian untuk terus melangkah ketika impian terpaksa diketepikan.

Yulia diperkenalkan sebagai seorang gadis yang terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam keluarganya.

Selepas melalui kehilangan dan perubahan dalam kehidupan, dia mengetepikan cita-cita untuk bekerja sebagai pemandu e-panggilan demi membantu menyara ibu dan adiknya.

Keadaan ini menjadikan Yulia sebagai gambaran seorang anak muda yang berhadapan dengan realiti bahawa tidak semua impian dapat dikejar pada waktu yang diinginkan.

Di sinilah antara kekuatan utama novel ini terserlah.

Penulis tidak menggambarkan kemiskinan dan kesempitan ekonomi semata-mata sebagai latar belakang cerita, sebaliknya menjadikannya sebahagian daripada proses pembentukan watak.

Pilihan Yulia untuk meninggalkan pendidikan bukan kerana dia tidak mempunyai kemampuan atau cita-cita, tetapi kerana keadaan memaksanya memilih antara masa depannya dengan keperluan keluarganya.

Persoalan tersebut memberikan pengajaran yang cukup bermakna.

Dalam kehidupan sebenar, terdapat anak muda yang terpaksa menangguhkan pendidikan, pekerjaan impian atau cita-cita kerana tanggungjawab terhadap keluarga.

Oleh itu, novel ini mengingatkan pembaca supaya tidak mudah menilai seseorang berdasarkan pilihan hidupnya kerana kita tidak pernah benarbenar mengetahui keadaan yang menyebabkan pilihan tersebut dibuat.

Watak Yulia juga menarik kerana kekuatannya tidak digambarkan melalui kesempurnaan.

Dia bersifat spontan, selamba dan kadangkala membuat keputusan secara terburu-buru.

Namun, di sebalik sikap tersebut tersimpan pelbagai perkara yang dipendam.

Perwatakan itu menjadikan Yulia lebih dekat dengan realiti manusia yang mempunyai kelemahan, tetapi tetap berusaha menjalani kehidupan sebaik mungkin.

Daripada Yulia, pembaca dapat melihat bahawa menjadi kuat tidak bermaksud seseorang itu tidak pernah lemah Kekuatan boleh hadir melalui kesanggupan untuk terus bekerja, menjaga keluarga dan bangkit selepas kehilangan, walaupun diri sendiri masih belum benar-benar pulih.

Adam pula membawa sisi kehidupan yang berbeza.

Sebagai penyanyi popular, kehidupannya kelihatan jauh lebih selesa berbanding dengan Yulia. Namun, populariti tidak menjadikannya bebas daripada masalah.

Kontroversi, konfik keluarga dan kesukaran untuk mempercayai orang lain menyebabkan Adam lebih selesa memendam banyak perkara.

Perjalanan Adam memberikan satu lagi pengajaran penting, iaitu kehidupan seseorang tidak wajar dinilai berdasarkan apa-apa yang kelihatan pada permukaan.

Populariti dan kejayaan tidak semestinya menjamin ketenangan.

Seseorang yang kelihatan mempunyai segala-galanya mungkin sebenarnya sedang berhadapan dengan persoalan dan luka yang tidak diketahui oleh orang lain.

Selain Yulia dan Adam, kisah Fahmi turut memberikan dimensi emosi yang kuat kepada keseluruhan cerita.

Keadaan Fahmi yang bergantung pada keluarga selepas mengalami kelumpuhan mengangkat persoalan tentang penjagaan, pengorbanan dan peranan keluarga ketika seseorang tidak lagi mampu berdikari sepenuhnya.

Bahagian ini mengingatkan pembaca bahawa keluarga bukan sahaja tempat berkongsi kegembiraan, malah turut menjadi sistem sokongan ketika seseorang berada pada titik paling sukar dalam kehidupan.

Pengorbanan penjaga dan ahli keluarga juga sering tidak kelihatan, sedangkan tanggungjawab tersebut memerlukan kesabaran dan kekuatan yang besar.

Dari sudut penceritaan, pertemuan Yulia dengan Adam yang bermula melalui perjalanan e-panggilan memberikan unsur humor dan santai kepada novel.

Walaupun kebetulan tersebut mungkin kelihatan jarang berlaku dalam kehidupan sebenar, ia berfungsi sebagai titik permulaan yang menghubungkan dua watak daripada latar kehidupan yang berbeza.

Hubungan mereka kemudiannya berkembang melalui pertengkaran, salah faham dan perasaan yang semakin sukar dina‚ kan.

Namun, nilai cerita tidak bergantung sepenuhnya pada persoalan sama ada mereka akan bersama atau tidak.

Sebaliknya, hubungan tersebut menjadi ruang untuk kedua-duanya belajar tentang kepercayaan, penerimaan dan keberanian untuk membuka hati kepada orang lain.

Plot yang turut disertai beberapa kejutan, khususnya berkaitan dengan keluarga Adam, menambahkan daya tarikan cerita.

Perkembangan tersebut memberikan konteks terhadap beberapa tindakan watak yang pada awalnya sukar difahami dan menggalakkan pembaca melihat sesuatu keadaan daripada sudut yang lebih luas.

Secara keseluruhannya, Kita Cuma Kawan, Kan? menawarkan lebih daripada sekadar kisah romantik.

Novel ini menyentuh realiti bahawa kehidupan tidak selalu memberikan pilihan yang mudah, terutama kepada mereka yang memikul tanggungjawab keluarga pada usia muda.

Inti pati paling besar yang dapat diperoleh daripada karya ini ialah kepentingan memahami sebelum menghukum.

Setiap manusia mempunyai perjuangan yang mungkin tidak diketahui oleh orang lain.

Pada masa sama, novel ini memperlihatkan bahawa kehilangan impian tidak semestinya bermaksud kehilangan masa depan.

Ada kalanya seseorang perlu mengambil jalan yang lebih panjang sebelum kembali menemukan dirinya.

Bagi pembaca, kisah Yulia menjadi peringatan bahawa kekuatan bukan bererti tidak pernah jatuh, sebaliknya kemampuan untuk terus bangkit setiap kali kehidupan menguji.

Dalam hal itu, Kita Cuma Kawan, Kan? meninggalkan satu pesan yang sederhana tetapi bermakna bahawa setiap orang mempunyai perjuangan masing-masing dan selagi masih ada ruang untuk melangkah, harapan tidak pernah benar-benar berakhir.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Sebuyau dalam kenangan

Tajuk: Sebuyau, Sekelumit Kenangan, Secebis Pengalaman Penulis: Abang Zainoren Abang Abdurahman, Khaulah Abu Bakar, Amira Shazlin Adnan, Lenny Yusrina Bujang Khedif Tahun Terbit: 2021 Penerbit:

BERITA TERBARU