ARTIKEL

Berdamai dengan luka kehidupan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa

Penulis: Arlina Arshad

Penerbit: IMAN Publication

Jumlah halaman: 178 muka surat

Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa karya Arlina Arshad merupakan sebuah buku yang membawa pembaca menyelami pengalaman hidup, kesakitan, kehilangan serta proses menerima diri sendiri.

Penulis yang lebih dikenali di media sosial sebagai Arlina Banana ini merupakan anak jati Subang Jaya, Selangor.

Buku ini merupakan himpunan esei re ektif yang disertai ilustrasi, menggunakan gaya penulisan yang santai dan dekat dengan pengalaman kehidupan manusia.

Walaupun judul buku ini mungkin kedengaran agak berat, kandungannya bukan semata-mata berkisar tentang pengalaman penulis yang hampir berputus asa.

, buku ini merupakan catatan tentang usaha seseorang untuk memahami dirinya dan mencari semula makna kehidupan selepas melalui pengalaman yang sangat mencabar.

Kisah ini juga lahir daripada pengalaman peribadi Arlina yang pernah berdepan dengan keadaan yang hampir meragut nyawanya.

Arlina pernah mengalami aneurisme otak dan pengalaman tersebut memaksanya berhadapan dengan persoalan tentang kematian, kehidupan dan identiti diri.

Menariknya, Arlina tidak sekadar menceritakan pengalaman tersebut sebagai sebuah kisah sedih.

Sebaliknya, beliau menjadikan pengalaman itu sebagai bahan renungan tentang perkara yang mungkin pernah dirasai oleh ramai orang.

Antaranya termasuklah perasaan ketinggalan berbanding dengan orang lain, kesakitan apabila tidak dipilih, kecenderungan menyalahkan diri sendiri serta kesukaran menerima hakikat bahawa kehidupan tidak selalu berjalan seperti yang diharapkan.

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu Bahagian 1: Naik Turun Perasaan dalam Hidup dan Bahagian 2: Untuk Hidup Sekali Lagi.

Bahagian pertama membawa pembaca menyelami pelbagai emosi dan persoalan yang timbul ketika seseorang berhadapan dengan kesakitan dalam kehidupan.

Bagi saya, antara bab yang menarik ialah Jauh Ketinggalan Berbanding Orang Lain, Sakitnya Menjadi yang Tidak Terpilih, Penat Berlari untuk Mengelak dan Belajar untuk Duduk dengan Sakit.

Berdasarkan tajuk-tajuk tersebut, jelas bahawa buku ini tidak cuba memberikan jawapan mudah kepada persoalan kehidupan.

Sebaliknya, penulis mengajak pembaca untuk berhenti seketika dan memahami kesakitan yang selama ini cuba dielakkan.

Dalam bab Belajar untuk Duduk dengan Sakit, penulis mengetengahkan pemikiran yang menarik bahawa kesakitan tidak semestinya sesuatu yang perlu terus dilawan atau disembunyikan.

Ada masanya seseorang perlu mengakui dirinya sedang mengalami kesakitan sebelum mampu memahami perkara yang sebenarnya berlaku dalam dirinya. Bahagian kedua pula bertajuk Untuk Hidup Sekali Lagi.

Bahagian ini banyak memperlihatkan proses menerima keadaan dan membina semula kehidupan.

Antara bab dalam bahagian ini termasuklah Berhenti Menyalahkan Diri, ‘Bertatih untuk Menjadi Manusia Kembali, Bertemu dengan Setiap Versi Diri, Memaafkan Diri yang Pernah Tersilap Jalan dan Menerima Jalan Hidup yang Berbeza.

Pada pandangan saya, antara kekuatan utama buku ini ialah kejujuran penulis itu sendiri.

Arlina tidak cuba menggambarkan kehidupan seolah-olah segala masalah boleh diselesaikan dengan mudah.

Sebaliknya, beliau mengakui manusia boleh berada dalam keadaan keliru, kecewa, terluka dan penat.

Pengakuan sebegini menjadikan kandungan buku ini dekat dengan pengalaman pembaca sendiri.

Kekuatan buku ini juga terletak pada keberanian penulis untuk membicarakan perkara yang biasanya cuba kita elakkan, iaitu kesakitan, kegagalan dan kesukaran menerima diri sendiri.

Cara penulis mengolah pengalaman tersebut membuatkan saya berasa buku ini bukan sekadar menceritakan kisah hidupnya, malah turut mengajak pembaca menilai semula kehidupan sendiri.

Pengalaman Arlina juga dapat dilihat melalui perspektif psikologi yang lebih luas.

Sebagai pelatih psikologi klinikal, beliau mengaitkan renungan peribadinya dengan beberapa kerangka pemikiran, khususnya eksistensialisme dan Terapi Penerimaan dan Komitmen (ACT).

Bahasa yang digunakan juga bersahaja dan diselitkan dengan unsur humor gelap (dark humour), sekali gus menjadikan topik yang berat lebih mudah didekati.

Sejujurnya, saya menyukai buku ini kerana penulis tidak menyuruh pembaca melupakan perkara yang menyakitkan.

Sebaliknya, pembaca diajak untuk memahami bahawa pengalaman buruk merupakan sebahagian daripada perjalanan hidup.

Kesilapan, kehilangan dan kegagalan tidak semestinya menentukan identiti seseorang untuk selama-lamanya.

Perkara yang penting ialah cara seseorang belajar menerima pengalaman tersebut dan memilih untuk meneruskan kehidupan.

Buku ini juga mengingatkan pembaca supaya tidak terlalu sibuk membandingkan kehidupan sendiri dengan kehidupan orang lain.

Setiap manusia mempunyai keadaan, pengalaman dan perjalanan hidup yang berbeza.

Menerima hakikat ini merupakan sebahagian daripada proses berdamai dengan diri sendiri.

Secara keseluruhannya, buku ini sesuai dibaca oleh sesiapa yang pernah berasa penat dengan kehidupan, kecewa terhadap diri sendiri atau sedang berusaha mencari semula makna kehidupan selepas melalui pengalaman yang sukar.

Buku ini memberikan pandangan yang lebih realistik bahawa manusia boleh terluka, tersesat dan jatuh, tetapi masih mempunyai peluang untuk mengenali diri sendiri semula.

Buku ini bukan sekadar catatan tentang seorang perempuan yang hampir berputus asa, tetapi juga merupakan renungan tentang manusia dan kehidupan.

Di samping itu, buku ini membawa mesej yang kuat bahawa kita tidak semestinya perlu memiliki kehidupan yang sempurna untuk terus hidup dengan bermakna.

Ada kalanya, keberanian yang paling besar ialah menerima ketidaksempurnaan diri, belajar memaafkan diri sendiri dan perlahan-lahan belajar untuk hidup sekali lagi.

BERITA LAIN

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

Sebuyau dalam kenangan

Tajuk: Sebuyau, Sekelumit Kenangan, Secebis Pengalaman Penulis: Abang Zainoren Abang Abdurahman, Khaulah Abu Bakar, Amira Shazlin Adnan, Lenny Yusrina Bujang Khedif Tahun Terbit: 2021 Penerbit:

BERITA TERBARU