Bukan semua layak!

MIRI: Golongan tidak berkemampuan di bawah kategori B40 diberikan keutamaan dalam Bantuan Makanan Sarawakku Sayang bagi meringankan beban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, bantuan tersebut bukan untuk semua lapisan masyarakat, seperti yang dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.

“Bantuan tersebut hanya disasarkan kepada mereka yang kurang berkemampuan iaitu golongan B40 sahaja.

“Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dan Pusat Khidmat telah mengagihkan sebanyak 16,078 bantuan makanan, masing masingnya sejumlah 4,678 untuk kawasan Piasau, Pujut (3,025) dan Senadin (8,375),” jelas kenyataan itu semalam.

Selain itu, berdasarkan maklum balas Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dan petugas yang mengagihkan bantuan makanan, terdapat beberapa masalah yang timbul apabila berlaku salah faham mengenai bantuan makanan ini.

“Ada segelintir individu yang mengemukakan permohonan bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang untuk kali kedua dan ketiga.

“Ini menyukarkan jawatankuasa memproses permohonan ekoran pertambahan luar biasa disebabkan permohonan berulang dan kes yang tidak mematuhi syarat bantuan makanan,” tambahnya.

Oleh itu, jawatankuasa terbabit menggesa orang ramai yang sudah menerima bantuan agar tidak mengemukakan permohonan susulan walaupun mereka menggunakan nama orang lain.

“Ini kerana sistem pemprosesan permohonan dapat mengesan permohonan berulang dan memerlukan masa yang panjang sekali gus mendatangkan kesukaran kepada pihak jawatankuasa dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Miri memproses permohonan mereka yang layak dengan pantas,” jelasnya lagi.

Sementara itu Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, ada individu yang salah faham dan berfikir semua layak mendapat bantuan tersebut. “Malah, ada segelintir yang bukan dalam golongan B40 dan didapati berkemampuan menuntut untuk diberikan bantuan makanan tersebut.

“Kami percaya masih ramai lagi golongan yang amat memerlukan bantuan tersebut yang perlu diberikan keutamaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri di Kompleks Islam Sarawak Miri, semalam.