“Jom mendaki.”
Itulah ungkapan pertama yang keluar daripada mulut rakan-rakan saya apabila saya menyatakan hasrat untuk menyertai pendakian ke Bukit Batu Selabat.
Dua patah perkataan itu akhirnya membuka jalan kepada satu pengalaman yang pada awalnya tidak pernah saya sangka akan menjadi kenangan yang cukup bermakna.
Daripada sembilan orang dalam kumpulan kecil kami, hampir semuanya sudah biasa menawan bukit dan gunung.
Ada yang sudah berkali-kali meredah laluan hutan, berdepan dengan cerun curam dan menikmati kepuasan apabila berjaya berdiri di atas puncak.
Bagaimana pula dengan saya?
Pengalaman mendaki boleh dikira dengan jari.
Pendakian ke Bukit Batu Selabat sebenarnya merupakan kali kedua saya menyertai aktiviti mendaki, sesuatu yang sebelum ini hanya saya lihat dari jauh menerusi perkongsian orang lain di media sosial.
Terus terang, pada awalnya saya bukanlah seorang yang terlalu teruja untuk mendaki.
Motivasi utama saya bukanlah untuk mengejar gambar yang cantik di atas puncak atau membuktikan sesuatu kepada sesiapa.
Sebaliknya, saya hanya tertarik dengan keindahan alam semula jadi yang menanti di penghujung perjalanan, terutama apabila membayangkan dapat menikmati kesejukan air terjun selepas berjalan di dalam hutan.
Bagi saya ketika itu, pengalaman berada dekat dengan alam sudah cukup menjadi alasan untuk menyahut pelawaan rakan-rakan.
Terletak di Kampung Selabat, Muara Tebas, kira-kira 20 hingga 30 minit perjalanan dari pusat bandar raya Kuching, Bukit Batu Selabat kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pencinta alam dan penggemar aktiviti lasak.
Walaupun hanya berketinggian kira-kira 220 meter dari aras laut, bukit ini tetap menawarkan pengalaman tersendiri kepada setiap pendaki.
Perjalanan menuju ke puncak mengambil masa kira-kira 45 minit hingga satu jam, bergantung pada tahap kecergasan pendaki.
Keistimewaan Bukit Batu Selabat terletak pada formasi bongkah batu besar yang menghiasi kawasan sekitar puncak, sekali gus menjadikan landskapnya unik dan menarik untuk diterokai.
Namun, perjalanan hingga ke penghujung laluan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Pendaki perlu menggunakan tali dan memanjat beberapa bahagian berbatu yang curam, sekali gus menguji kekuatan fi zikal dan mental.
Sebelum memulakan pendakian, saya sempat membuat sedikit persiapan.
Saya membeli sepasang kasut mendaki.
Sebenarnya, saya bimbang kasut sukan biasa tidak mampu mencengkam permukaan berbatu dan licin sepanjang perjalanan.
Dalam kalangan masyarakat tempatan, kasut itu lebih dikenali sebagai “kasut Adidas kampung”.
Walaupun murah, kasut tersebut sering menjadi pilihan kerana sesuai digunakan untuk mendaki bukit atau gunung.
Bunyinya mungkin agak lucu, tetapi kasut itu memberikan sedikit keyakinan kepada saya untuk memulakan cabaran tersebut.
Maklumlah, baru kali kedua saya mencuba dunia pendakian.
Persiapan yang kecil tetap memberikan makna.
Sehari sebelum pendakian, kumpulan WhatsApp kami mula dipenuhi dengan pelbagai pertanyaan.
“Lamakah masa yang diambil untuk mendaki?”
“Susahkah laluannya?”
“Bolehkah kami sampai ke puncak?”
Soalan-soalan itu sedikit sebanyak membuatkan saya mula membayangkan keadaan sebenar laluan yang bakal ditempuhi.
Akhirnya, seorang rakan hanya memberikan satu pesanan ringkas.
“Naik sahaja, jangan fikir yang bukan-bukan.”
Seawal jam 6.30 pagi, kami memulakan perjalanan menuju ke Kampung Selabat selepas mengambil beberapa rakan di Kota Samarahan.
Kami bergerak dengan menaiki dua kenderaan sebelum berkumpul di lokasi pendakian.
Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta dipenuhi gelak tawa dan perbualan tentang cabaran yang bakal ditempuhi.
Walaupun teruja, saya tetap tertanya-tanya tentang keadaan sebenar laluan di Bukit Batu Selabat kerana kebanyakan rakan saya sudah berpengalaman dalam aktiviti pendakian.
Sebaik-baik sahaja tiba di kaki bukit, kami mendaftar dan membuat bayaran yang ditetapkan.
Yuran masuk ialah RM10 bagi setiap orang, manakala akses ke kawasan air terjun turut dikenakan bayaran sebanyak RM10 seorang.
Bagi khidmat malim gunung pula, kami membayar RM50 untuk satu kumpulan yang terdiri daripada maksimum 10 orang.
Selain itu, bayaran parkir sebanyak RM5 dikenakan bagi setiap kenderaan.
Dengan beg galas, botol air dan kasut Adidas kampung yang baru dibeli, saya akhirnya memulakan langkah pertama menyusuri laluan hutan.
Kami memulakan pendakian kira-kira pukul 7.30 pagi.
Pada awal perjalanan, semuanya kelihatan mudah.
Masing-masing masih bersemangat.
Gelak tawa kedengaran dan kami berjalan sambil menikmati suasana hutan yang menghijau.
Namun, selepas kira-kira 30 minit mendaki, saya mula merasakan cabarannya.
Langkah saya mula perlahan, nafas semakin tidak teratur dan tubuh mula memberikan isyarat agar saya tidak terlalu memaksa diri.
Ketika itu, saya mula menyedari bahawa tahap stamina saya tidak sebaik yang disangka.
Setelah sekian lama tidak melakukan aktiviti fizikal secara konsisten, ditambah pula dengan waktu tidur yang tidak mencukupi, tubuh saya seakan-akan meminta agar saya bergerak mengikut kemampuan sendiri.
Dalam hati, satu persoalan mula bermain.
“Bolehkah saya sampai ke puncak?”
Mujur saya dikelilingi rakanrakan yang memahami.
Mereka tidak mendesak saya bergerak mengikut rentak mereka.
Sebaliknya, mereka sentiasa memberikan semangat supaya saya terus melangkah dan tidak berhenti di pertengahan perjalanan.
Ada yang berkongsi tip mendaki, ada yang menunggu apabila saya mula perlahan dan tidak kurang juga yang menghulurkan gula-gula untuk membantu menambah tenaga.
Perkara kecil itu mungkin nampak biasa, tetapi ketika badan mula terasa letih, sokongan sebegitulah yang membuatkan saya kembali yakin.
Sedikit demi sedikit, semangat kembali muncul.
Walaupun langkah saya tidak sepantas rakan-rakan lain yang sudah berpengalaman, saya teruskan perjalanan.
Akhirnya, selepas hampir satu jam setengah mendaki, kami berjaya menjejakkan kaki ke puncak Bukit Batu Selabat sekitar jam 9.00 pagi.
Saat itu, rasa lega mengatasi segala penat yang dirasai sepanjang perjalanan.
Pemandangan yang terbentang di hadapan mata menjadi hadiah paling bermakna selepas laluan yang mencabar.
Dari atas puncak, kami dapat menikmati panorama sekitar Muara Tebas, kehijauan alam serta suasana tenang yang jauh daripada hiruk-pikuk bandar.
Kami tidak terus turun.
Sebaliknya, kami mengambil masa untuk berehat, menikmati pemandangan, mengambil gambar dan mengabadikan kenangan bersama-sama.
Lebih istimewa, seorang rakan sempat menyediakan air milo panas selepas kami tiba di puncak sebagai ganjaran kecil selepas berjaya mengharungi pendakian.
Secawan air panas dalam suasana sejuk di atas bukit itu berasa cukup bermakna.
Di puncak itu, saya mula memahami mengapa ramai sanggup mengulangi pendakian ke Bukit Batu Selabat.
Bukan semata-mata kerana mahu menawan puncak, tetapi kerana pengalaman sepanjang perjalanan itulah yang mencipta cerita.
Selepas puas menikmati keindahan alam dan mengabadikan kenangan bersama, kami akhirnya mengambil keputusan untuk turun sekitar jam 11.00 pagi.
Perjalanan turun terasa lebih mudah, namun rasa penat masih jelas dirasai selepas hampir separuh hari menghabiskan masa di laluan hutan.
Namun, segala keletihan itu seakan terbayar dengan pengalaman yang tercipta.
Bagi saya, Bukit Batu Selabat bukan sekadar sebuah lokasi pendakian.
Ia menjadi pengalaman yang mengubah pandangan saya terhadap aktiviti mendaki.
Saya belajar bahawa mendaki bukan hanya tentang kekuatan fizikal atau siapa yang paling cepat sampai ke puncak.
Lebih daripada itu, ia tentang keberanian mencuba sesuatu yang baharu, menghargai keindahan alam dan menghargai insan yang sentiasa memberikan sokongan ketika langkah mula terasa berat.
Pendakian kedua ini mungkin belum menjadikan saya seorang pendaki tegar.
Namun, ia cukup untuk membuatkan saya melihat hobi ini daripada sudut yang berbeza.
Daripada seseorang yang pada awalnya hanya mahu menikmati air terjun dan pemandangan alam, kini saya mula terfi kir.
Mungkin selepas ini, apabila rakan-rakan mengajak mendaki lagi, soalan saya bukan lagi, “Susah kah laluannya?”
Tetapi… “Bila kita pergi lagi?”






