ARTIKEL

BERCAKAP… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu, di sini, hari ini.

Bukit Lima diiktiraf rizab hutan paya gambut terbesar di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima mencipta sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rizab hutan paya gambut dilindungi terbesar di Malaysia dengan keluasan 301 hektar, iaitu hampir dua kali ganda lebih besar daripada Taman Hyde di London serta 15 kali keluasan kawasan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kawasan tanah gambut sebagai aset strategik yang menyokong agenda kelestarian alam sekitar serta pembangunan mampan.

Menurut beliau, usaha tersebut juga sejajar dengan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selain memperkukuh usaha memelihara kawasan tanah gambut yang berfungsi sebagai penyerap karbon.

“Kawasan seluas 301 hektar atau kira-kira 744 ekar itu akan terus dipelihara sebagai rizab alam semula jadi, dengan sebarang pembangunan dihadkan kepada kemudahan sokongan seperti kawasan riadah, laluan pejalan kaki dan infrastruktur mesra alam,” katanya pada sidang media selepas Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu, di sini, hari ini.

MBOR…Sekitar lawatan Premier di Hutan Simpan Semula Jadi Bukit Lima hari ini sebelum menerima sijil pengiktirafan MBOR sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu yang berlangsung di Bukit Lima Nature Reserve.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mencari kaedah terbaik untuk mengekalkan kawasan tanah gambut kerana tanah tersebut menyimpan karbon yang tidak dilepaskan ke atmosfera.

“Atas sebab itu, tiada pembangunan berskala besar akan dibenarkan di kawasan ini, kecuali kemudahan yang menyokong fungsi rizab alam semula jadi tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kawasan rizab itu turut akan dibangunkan secara terkawal menerusi penyediaan kemudahan rekreasi mesra alam, termasuk memanfaatkan sungai semula jadi sebagai antara tarikan kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pengiktirafan itu disahkan menerusi penyampaian sijil oleh MBOR kepada Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said dan Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, pagi tadi.

Katanya, Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima turut menjadi pelengkap kepada pembangunan Bukit Assek yang telah mendapat kelulusan pada dasarnya daripada Lembaga Perancang Negeri (SPA).

“Pembangunan kawasan baharu seperti ini memerlukan masa sekurang-kurangnya 15 tahun. Namun, apabila siap kelak, Bukit Lima bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu Sibu, malah memperkukuh kedudukannya sebagai bandar yang mengimbangi pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari menerima sijil pengiktirafan MBOR sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu yang berlangsung di Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima, pagi tadi.

Beliau turut menyaksikan pelepasan seekor tenggiling ke habitat semula jadinya sebagai simbol komitmen kerajaan negeri terhadap pemuliharaan hidupan liar.

Meliputi kawasan seluas 301 hektar, Bukit Lima merupakan antara khazanah alam semula jadi paling bernilai di bandar Sibu yang berperanan penting dalam pemuliharaan biodiversiti, di samping menyediakan ruang rekreasi, pendidikan alam sekitar dan penyelidikan saintifik.

Bukit Lima turut menjadi habitat kepada pelbagai hidupan liar seperti monyet ekor panjang, tupai gergasi dan mamalia lain yang bergantung kepada kelestarian ekosistem hutan.

Kekayaan biodiversitinya turut dibuktikan dengan rekod 39 spesies burung daripada 20 famili, termasuk burung enggang yang dilindungi, burung raja udang dan burung bangau.

Ekosistem hutan paya gambut di kawasan itu juga menyokong sekurang-kurangnya 35 spesies tumbuhan daripada 18 famili, termasuk spesies ramin (Gonystylus spp.) yang tersenarai di bawah Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU