Buku guru tinju

BERLATIH tanpa jurulatih hingga menjadi juara dalam arena sukan tinju negara di era 70-an membuatkan Idris Bujang menjadi atlet pertama kelahiran Sarawak yang mewakili Malaysia pada Sukan Asean 1978.

Permulaan karier seawal usia 21 tahun pada tahun 1972 sebagai atlet tinju apabila beliau mula berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) Sarawak dan menjadi juara buat kali pertama di Pertandingan Tinju Polis Terbuka Sarawak dalam kategori ‘fly weight’.

Juara bertahan empat kali berturut-turut dalam Pertandingan Tinju Polis Terbuka sehinggalah beliau terpilih untuk mewakili Sarawak dalam Kejohanan Tinju Terbuka Malaysia 1975 buat kali pertama dan berjaya memperolehi pingat perak

Beliau juga turut menjadi juara dalam Pertandingan Tinju Terbuka Sarawak pada tahun 1977 di Sibu bagi kelayakan mewakili Malaysia ke temasya Sukan Asean 1978 dan tiga orang daripada mereka layak untuk pemilihan tersebut.

Pada tahun 1978, Idris telah mewakili Malaysia ke Sukan Asean ke-3 di Manila, Filipina dan memperoleh pingat perak setelah berjaya menumpaskan lawan dari Singapura.

Dalam tahun yang sama Ideris turut berjaya bergelar juara kebangsaan apabila meraih pingat emas dalam Pertandingan Tinju Malaysia Terbuka di Sabah.

Kali terakhir beliau mengikuti pertandingan peringkat kebangsaan adalah Kejohanan Tinju Nasional ke-18 di Sabah pada tahun 1981.

Berlatih tanpa jurulatih Sepanjang karier beliau dari tahun 1972 sehingga 1981, kebanyakan sesi latihan beliau adalah tanpa jurulatih.

Pada ketika itu, Sarawak tidak mempunyai jurulatih khas untuk melatih dalam sukan tinju. Kerana minat yang mendalam dalam sukan tersebut dan sukar untuk mendapatkan latihan penuh daripada jurulatih, beliau telah membeli sebuah buku yang bertajuk ‘The Art Of Boxing’ karya Jimmy Wilde yang merupakan juara dunia sukan tinju dalam kategori fly weight.

Kejayaan beliau banyak berpandukan buku berkenaan. “Segala latihan saya 99 peratus berpandukan buku ini lebih-lebih lagi dalam teknik-teknik tumbukan yang betul, tangkas dan padu.

“Selain itu, saya fokus dengan latihan ketangkasan dan kelajuan tumbukan mengunakan alat alas pelapik tinju.

Latihan ini adalah paling penting untuk meningkatkan stamina, kekuatan, kemahiran dan kelajuan pukulan,” katanya semasa ditemui oleh Suara Sarawak kelmarin.

Idris, 69, bapa kepada lima orang anak itu menyatakan bahawa dahulu beliau akan berlari setiap pagi sejauh 25 kilometer dari tempat kediaman Kampung Gita sehingga ke tempat kerja di Kem Tentera Udara atau kini digelar Jalan Penrissen untuk latihan stamina. Manakala pada sebelah petang latihan kemahiran tinju di dalam kelas yang disediakan di kem bertugas, lebih kurang dalam dua jam berlatih bersama ahli-ahli yang lain.

“Dahulu kita tiada jurulatih penuh dalam mengajar sukan tinju tetapi Sarawak ada menjemput jurulatih dari Jepun untuk mengajar dalam tempoh seminggu di kem latihan.

“Pada masa itu, jurulatih tersebut hanya mengajar asas dalam tinju dan selebihnya bergantung kepada kemahiran masing-masing untuk mempraktikan apa yang telah diajar,” katanya lagi.

Beliau berkata, dia hanya sempat bertemu jurulatih iaitu Anthony dan Zaidi Castello di lapangan terbang semasa mengikuti pertandingan tinju peringkat kebangsaan di Sabah.

Jelasnya, dalam menjalani latihan individu makanan tambahan amat penting untuk ketahanan fizikal Beliau sentiasa mengamalkan pengambilan minuman coklat gandum jenama Milo dari Nestle sebelum berlatih pada awal pagi selain mengambil telur rebus.

“Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk sukan yang diminat seperti penyediaan peralatan sukan untuk diri sendiri, kos makanan tambahan dan masa yang diperlukan untuk berlatih dan menjalankan tugas sebagai polis.

“Saya selalu mendapat kata-kata negatif daripada sesetengah pihak bahawa saya tidak akan berjaya dalam sukan ini.

Namun untuk bergelar juara itu hati kita kena hati kering dan jadikan kata cacian itu sebagai semangat untuk menang,” tegasnya.

Karier selepas bersara daripada pertandingan Idris menjadi jurulatih tinju Sarawak untuk atlet Sukma pada tahun 1994 sehingga 2000. Pada awal kerjaya sebagai jurulatih beliau berjaya membawa nama Sarawak menjadi juara dalam dua kategori sukan tinju di temasya Sukma di Perak 1994.

Pada masa itu juga, Sarawak menjadi juara keseluruhan dalam temasya Sukma dengan kutipan 39 pingat emas, 28 pingat perak dan 30 pingat gangsa.

Beliau turut banyak melahirkan pelatih-pelatih tinju yang mewakili Sarawak ke Sukma. Beliau turut memberi saranan kepada peninju tempatan baharu untuk sentiasa menjalankan latihan ‘padding’ untuk meningkatkan kemahiran dan ketangkasan tumbukan mengikut ketetapan masa.

“Kelemahan pasukan kita sekarang menurut penilaian saya adalah kurang melakukan latihan ‘padding’.

Untuk latihan ‘padding’ memerlukan lebih ramai jurulatih dan pembantu jurulatih untuk mengira ketangkasan dan ketetapan masa.

“Ketetapan masa dalam ‘padding’ bergantung kepada jurulatih sama ada tiga minit atau lima minit ‘padding’ tanpa henti.

Latihan ini penting untuk ketahanan stamina semasa bertanding disamping kemahiran bertahan dan serangan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan untuk menjadi seorang jurulatih tinju hendaklah seorang yang pernah menjuarai beberapa pertandingan supaya pengalaman mereka boleh dikongsi bersama pelatih berbanding menjadi jurulatih yang hanya sekali juara dalam peringkat kebangsaan.

Momentum kejuaraan itu harus dikekalkan sepanjang bergelar atlet kebangsaan baru ia sesuai digelar jurulatih profesional.

Cadangan untuk kemajuan sukan tinju Bekas jurulatih tinju Sukma itu mencadangkan agar lebih banyak pertandingan tinju peringkat negeri diadakan bagi mencungkil bakat-bakat anak muda baharu dalam sukan tinju.

“Semasa zaman saya dahulu, Sibu melahirkan banyak anak-anak muda yang bukan daripada badan beruniform dalam sukan tinju apabila persatuan mereka banyak menganjurkan pertandingan-pertandingan terbuka.

“Sekarang ini, pertandingan tinju kurang diadakan kerana minat anak muda sekarang lebih kepada sukan pertahankan diri yang lain seperti Muaythai tetapi saya yakin masih ada anak muda di luar sana yang meminati sukan ini sekiranya banyak pertandingan diadakan,” ujarnya.

Selain itu, untuk memajukan sukan tersebut penaja sukan ataupun penaja penganjuran sukan tinju harus ada ia adalah tonggak utama kemajuan sukan tersebut tanpa bergantung kepada kerajaan untuk menganjurkan aktiviti.

Jelasnya, mengambil contoh di negara Thailand yang terkenal dengan melahirkan atlet tinju yang bermutu apabila ramai syarikat-syarikat besar di negara mereka menaja pemain-pemain tersebut.

Beliau yakin sekiranya ramai penaja di negeri ini dapat memajukan sukan tinju untuk berjalan lebih jauh bukan hanya setakat peringkat negeri malah ke peringkat kebangsaan.

“Bagi generasi muda pula, saya nasihatkan agar sentiasa mempunyai komitmen serta keyakinan yang tinggi untuk berjaya dalam sukan ini.

“Untuk bergelar juara hati kita kena besar walaupun badan kita kecil,” tegasnya.