KUCHING: Sejarah dan salasilah tujuh generasi keluarga Abang Tokay bakal dibukukan bagi memastikan warisan keturunan itu terus dikenali serta dihargai oleh generasi akan datang.
Inisiatif itu akan menghimpunkan gambar, kisah dan maklumat daripada 10 cabang keluarga bagi mendokumentasikan perjalanan keturunan Abang Tokay yang berasal dari Mukah sebelum berhijrah ke Kuching dan membesarkan 10 orang anak.
Pengerusi Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Seri Azman Ujang yang juga keturunan generasi keenam daripada cabang keluarga Dayang Rokayah dijangka membantu menyunting dan menyemak kandungan buku berkenaan.
Usaha itu antara inisiatif keluarga besar berkenaan memelihara warisan nenek moyang, susulan perhimpunan sulung yang menghimpunkan kira-kira 500 ahli keluarga daripada tujuh generasi di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.

Perhimpunan itu turut menemukan semula kesemua 10 cabang keluarga dari Kuching, Miri, Mukah dan Brunei buat pertama kali selepas beberapa dekad.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Zainab Tambi daripada cabang keluarga Dayang Atiah berkata, pertemuan itu direalisasikan menerusi usaha menghubungkan semula saudara-mara yang tinggal berjauhan, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Tujuan kita di sini adalah satu, iaitu buat julung-julung kalinya, kita dapat bersama-sama dan bertemu bagi satu tujuan.
“Ini bagi menjejaki semula warisan nenek moyang kita dan seterusnya mengeratkan lagi tali kekeluargaan,” katanya pada Perhimpunan Sulung Keluarga Abang Tokay 2026 di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha menghubungkan semula ahli keluarga bermula menerusi kumpulan WhatsApp yang diwujudkan sekitar 2024 atau 2025 sebagai platform untuk berkongsi maklumat, gambar dan kisah berkaitan sejarah keluarga.
Katanya, usaha menyusun salasilah bukan sesuatu yang mudah, namun kisah Abang Tokay membesarkan 10 orang anak menjadi titik permulaan penting dalam menelusuri perjalanan keturunan mereka.
“Perancangan untuk menghimpunkan keluarga besar kami mengambil masa kira-kira dua tahun, manakala persiapan bagi menjayakan program ini dilakukan dalam tempoh tiga hingga empat bulan,” katanya.
Tambahnya, hubungan erat yang diwarisi daripada generasi terdahulu menjadi kekuatan keluarga itu untuk terus memelihara ikatan kekeluargaan meskipun menetap di lokasi berbeza.
Sehubungan itu, penerbitan buku salasilah berkenaan diharap dapat menjadi rujukan generasi muda untuk mengenali asal usul keluarga serta memahami pengorbanan nenek moyang mereka.
“Dengan adanya buku ini kelak, generasi muda dapat memahami perjalanan nenek moyang serta menghargai pengorbanan yang membentuk kehidupan mereka hari ini,” katanya.




