BINTULU: Bumbung bangunan sebuah sekolah rendah di Kampung Pandan di sini musnah diterbangkan angin dalam kejadian ribut kencang petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, insiden kira-kira jam 4.30 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Menurut laporan komander operasi, ketika kejadian hanya 21 orang yang masih kekal tinggal di sekolah itu manakala selebihnya pulang ke rumah masing-masing.
“Cuaca hujan lebat dan angin kuat serta tiba-tiba puting beliung menerbangkan bumbung kedua-dua bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan yang mempunyai seramai 111 orang murid itu.

“Kejadian mengakibatkan dalam bangunan sekolah itu dibasahi hujan manakala perabot, lantai dan alatan elektrik turut mengalami kerosakan,” satu kenyataan memaklumkan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, semua murid asrama selamat dan dikumpulkan warden di kawasan selamat.
“Kejadian turut merosakkan lapan buah rumah dengan jumlah mangsa keseluruhan 29 orang yang kini terpaksa menumpang di rumah saudara masing-masing, tiada pusat pemindahan dibuka,” jelasnya.




