KUCHING: Berduka dengan pemergian tokoh signifikan Sarawak, bumi turut menitiskan air hujan semasa jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiba di Masjid Demak untuk disembahyangkan.
Ketibaan jasad beliau pada jam 11.58 pagi di Masjid Demak turut diiringi kehadiran Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pemimpin yang lain.
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah juga bersama-sama hadir bagi menyampaikan penghormatan terakhir sehingga selesai upacara pengebumian Tun Taib di sini, hari ini.
Turut kelihatan, isteri arwah Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta anaknya, ahli keluarga serta tetamu-tetamu yang lain dalam keadaan sayu.
Berkumandang azan solat zohor, para hadirin secara berjemaah menunaikan kewajipan sebagai umat Islam sebelum menyempurnakan solat jenazah.
Seusai itu, keranda Allahyarham Tun Taib diangkat oleh lapan pengusung terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penuh istiadat.
Diketuai Pegawai Memerintah 71 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja, Kem Penrissen Lama, Kuching, Leftenan Kolonel Mohammad Jeffry Abdullah @ Jeffry Lin Sin, jenazah diusung ke tapak pengebumian berhampiran masjid untuk disemadikan.
Dalam pada itu, sebanyak 87 das meriam dilepaskan di enam lokasi bermula dari Fort Margherita, diikuti kawasan DUN lama, Kolej Abdillah, Wisma Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Wisma Sabati dan terakhir di kawasan Demak, hari ini.
Sementara, 17 das meriam dilepaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam (Rabu) bagi menandakan pengisytiharan kemangkatan Allahyarham Tun Taib.


