PADAWAN: Laluan ke Kampung Senah Rayang dan Kampung Rudan terhalang sepenuhnya susulan kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat berterusan sejak awal pagi.
Menurut Harris Abdullah, setakat tengah hari ini jalan berkenaan masih tidak dapat dilalui ekoran longgokan tanah yang menutup laluan utama penduduk.
“Setakat tengah hari ini, jalan masih terhalang dan memerlukan penggunaan jentera berat seperti ekskavator untuk mengalihkan tanah yang runtuh,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kawasan kejadian yang dikenali penduduk setempat sebagai “Bung Bah” itu merupakan laluan utama ke Kampung Senah Rayang dan Kampung Rudan, namun jarak kilometer sebenar lokasi kejadian belum dapat dipastikan.

Katanya, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut daripada penduduk kampung berikutan masalah gangguan komunikasi. Kawasan terjejas terputus bekalan elektrik dan tiada liputan isyarat telefon.
Selain tanah runtuh, beberapa rumah di kawasan terbabit dilaporkan dimasuki air akibat banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan.
Orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengelak laluan terjejas sehingga kerja pembersihan serta penilaian keselamatan selesai dijalankan pihak berkenaan.



