KUCHING: Burger ‘abang sado’ menjadi pilihan ramai walaupun baru dua minggu memulakan perniagaan. Pemilik Burger Muscleman, Awang Mohd Azizul Ghani berkata, dia memulakan perniagaan burger itu sekitar dua minggu lalu di al-Hassan Cafe di sini.
Menurutnya, burger itu menggunakan sepenuhnya produk patti burger dari Usna Marketing Enterprise. “Pilihan menggunakan patti burger dari Usna Marketing Enterprise ini kerana ia lebih berjus berbanding patti burger jenama lain.
“Ramai rakan gimnasium meminati rasa berjus ini kerana keaslian daging lebih terasa,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di luar kilang pemprosesan daging burger Usna Marketing Enterprise.
Tambahnya, patti burger Usna mempunyai pelbagai saiz dan memudahkannya membuat pilihan untuk menghasilkan burger. “Patti burger Usna ada yang seberat 60 gram, 80 gram dan 120 gram, malah ada orang suka yang tebal dan sebaliknya.
“Selain itu, patti burger ini lebih mudah dimasak, tidak perlu ditekan lama dan tidak perlu minyak. Cukup dibiarkan begitu sahaja dan membalik-balikkan patti burger itu,” jelasnya.
Azizul berkata, operasi perniagaannya dibuka setiap hari bermula 6 petang sehingga 12 tengah malam. Ketika menceritakan hari pertama berniaga, Azizul memberitahu dia agak terkejut apabila ramai pelanggan membeli burger di gerai mereka. “Walaupun baru hari pertama, tetapi sambutannya seperti kami sudah lama memulakan perniagaan ini.
“Untuk promosi, saya hanya menggunakan laman Facebook saya sendiri dan dikongsikan rakan yang mengenali saya,” ujarnya.
Azizul berkata menu burgernya itu turut menggunakan istilah gimnasium seperti HM Tricep Burger, HM Lamb Chest, Burger Double Bicep Beef, Burger Six Pack dan Burger Muscular, selain menjadi model kepada perniagaannya itu.

“Buat masa ini, kesemua menu yang ada di Burger Muscleman menjadi pilihan pelanggan. “Di Burger Muscleman, menu istimewa Burger Muscular ialah saiz burger paling besar kerana terdapat pelbagai lapisan seperti daging, sosej, ayam, telur, salmon, tiga lapisan keju dan nanas.
“Bagaimanapun, menu ini hanya dijual pada Jumaat dan Sabtu,” katanya lagi. Selain burger produk Usna, Azizul turut menghasilkan burger daripada salmon yang hanya ada pada setiap Jumaat dan Sabtu.
Pelbagai pilihan nanas dalam menu Six Pack yang ditawarkannya bagi menambahkan lagi rasa jus yang ada pada pati burger Usna.
Azizul yang juga atlet bina badan negara menjelaskan, setakat ini dia mahu meneruskan perniagaan burger sebelum memberi fokus kepada latihan bina badan iaitu pertandingan ditangguh pada tahun hadapan susulan pandemik Covid-19.