SIBU: Pasukan petugas khas yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan operasi memburu anjing liar di sini mulai minggu depan dalam usaha memerangi penyakit rabies.
Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew berkata, pasukan itu dipertanggungjawabkan dalam usaha bersepadu dan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan jabatan berkenaan di sini.
“Pada minggu depan, pasukan khas ini akan mula memburu anjing-anjing liar di semua kawasan di Sibu khususnya di kawasan titik panas yang telah diisytiharkan kawasan rabies.
“Antaranya ialah di Jalan Sentosa, Sibu Jaya, Jalan Hua Kiew, Jalan Ulu Sungai Merah dan banyak lagi.
“Oleh itu, saya mengingatkan pemilik anjing di sini supaya mengurung anjing di halaman rumah dan memohon lesen daripada pihak berwajib,” katanya di sini, semalam.
Beliau memberitahu, Sibu telah diisytiharkan sebagai zon merah penyakit rabies bulan lalu.
Lau berkata, lebih membimbangkan apabila wabak itu meragut dua nyawa di Sibu pada Februari lalu apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan pada Jun, seorang lelaki berusia 62 tahun – masing-masing digigit anjing yang dijangkiti rabies.
“Saya difahamkan petugas khas itu akan menangkap mana-mana anjing yang didapati berkeliaran di tempat awam tidak kira ia mempunyai lesen atau tidak.
“Jika mereka sayang kepada haiwan peliharaan, lebih baik mengurungnya di halaman rumah sahaja,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik anjing agar memanfaatkan peluang melalui pogram vaksinasi percuma yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu di beberapa lokasi terpilih.
“Kita semua perlu memainkan peranan untuk mengurangkan dan membasmi penyakit rabies.
Jangan sampai anjing kesayangan anda ditangkap.
Tolong ambil perhatian serius tentang perkara ini.
“Laksanakan tanggungjawab sebagai pemilik kepada anjing bagi menjayakan usaha membanteras penyakit rabies di Sibu,” tambah Lau lagi.



