Buruh didakwa memperkosa teman wanita bawah umur

KUCHING: Seorang buruh mengaku tidak bersalah terhadap tiga dakwaan memperkosa seorang teman wanita bawah umur, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin dan diarah membayar deposit tunai sebanyak RM3,000 kepada mahkamah, semalam.

Mahkamah Khas Kanak-kanak mengarahkan tertuduh dibebaskan sementara, sehingga sebutan semula kes pada 8 April depan.

Tertuduh menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa yang masih di bawah umur.

Mangsa berusia 14 tahun ketika tiga kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik di rumah sewa pada 12 November 2020 dan tertuduh mengulangi perbuatan yang sama di tempat yang sama pada 12 Disember 2020 dan pada 10 Jan 2021.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Suara Sarawak