KUCHING: Padah menceroboh rumah dan mencuri sepasang kasut sukan milik seorang wanita warga asing, seorang buruh kasar dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah yang bersidang sebagai Majistret Kelas Satu, Sandy Yvette Freddy menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Azlan Liza, 34, dari Kampung Segedup selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri sepasang kasut sukan milik mangsa wanita warga China.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Manakala, pertuduhan kedua, Azlan didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk ke rumah mangsa lelaki di Taman Desa Paul, Jalan Kuching-Serian, kira-kira jam 8.30 malam, 8 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Sandy Yvette menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua terhadap Azlan.
Selain itu, Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berjalan secara serentak.




