ARTIKEL

Fatimah merakam gambar bersama peserta Bengkel Pembangunan Pelan Induk Penuaan Sarawak 2026–2030 di Kuching, Jumaat.

Sarawak perkukuh persediaan hadapi peningkatan warga emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peningkatan jumlah warga emas menuntut Sarawak memperkukuh dasar, perkhidmatan dan sistem sokongan sosial bagi memastikan keperluan golongan itu terus terbela pada masa hadapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, isu penuaan penduduk memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan, termasuk penyelarasan dasar, perancangan bersepadu dan tindakan berterusan merentasi pelbagai sektor.

Katanya, pembangunan Pelan Induk Penuaan Sarawak (Sarawak Ageing Blueprint) 2026–2030 menjadi landasan penting mempersiapkan negeri menghadapi perubahan demografi serta memenuhi keperluan warga emas masa kini dan generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Bengkel Pembangunan Pelan Induk Penuaan Sarawak 2026–2030 di sini, Jumaat.

Warga emas tidak seharusnya dilihat sebagai golongan yang memerlukan bantuan, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai aset masyarakat yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan pengetahuan untuk terus menyumbang kepada keluarga serta komuniti.

Dapatan kajian bertajuk The Aged: Profile of … oleh Swinburne University of Technology Sarawak menyediakan asas berasaskan bukti untuk memahami keadaan, cabaran dan keperluan sebenar warga emas di negeri ini.

Kajian itu mengambil kira perbezaan keperluan warga emas di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman, selain faktor jantina, tahap kesihatan, kedudukan kewangan, perumahan serta mobiliti.

Hasil penyelidikan dan perbincangan bengkel perlu diterjemahkan kepada dasar, program serta tindakan konkrit yang keberkesanannya boleh diukur.

“Setiap kementerian, jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan dan organisasi masyarakat perlu meneliti jurang serta cabaran yang dikenal pasti, termasuk kelemahan penyampaian perkhidmatan, ruang penambahbaikan penyelarasan dan keperluan intervensi baharu,” katanya.

Katanya, pelaksanaan pelan induk itu perlu merangkumi program jangka pendek dan panjang, termasuk memperkukuh sokongan komuniti, mengenal pasti warga emas berisiko atau terpinggir serta meningkatkan akses kepada bantuan sedia ada.

Bagi jangka panjang, Sarawak perlu memperkukuh infrastruktur dan sistem sokongan melalui pembangunan tenaga kerja penjagaan terlatih, peluasan perkhidmatan penjagaan di rumah dan komuniti, penambahbaikan kemudahan awam serta pengukuhan perlindungan sosial.

Fatimah turut menekankan kepentingan menyediakan sokongan kepada golongan penjaga supaya tanggungjawab menjaga warga emas tidak dipikul sepenuhnya oleh ahli keluarga.

Kejayaan pelaksanaan pelan induk itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan, organisasi keagamaan, sektor swasta, institusi akademik dan komuniti setempat.

Justeru, pelan induk berkenaan perlu berfungsi sebagai pelan tindakan yang memandu keputusan kerajaan, perancangan peruntukan dan pelaksanaan program, bukan sekadar menjadi dokumen perancangan.

“Keberkesanannya bukan diukur berdasarkan kualiti dokumen semata-mata, tetapi melalui keupayaan memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan bermaruah, keperluan mereka dipenuhi, terus berhubung dengan komuniti dan penjaga turut menerima sokongan sewajarnya,” katanya.

Beliau berharap hasil penyelidikan, kepakaran dan pengalaman peserta bengkel dapat dimanfaatkan bagi menghasilkan dasar yang praktikal, mampan serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sarawak.

BERITA LAIN

Fokus keperluan pendidikan luar bandar, kebajikan guru

JULAU: Sebanyak RM50,000 disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No.2 bagi membolehkan pihak sekolah mendapatkan televisyen pintar (Smart TV) bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran

Pesta Tanglung Mukah 2026 tarik 7,000 pengunjung

MUKAH: Kira-kira 7,000 pengunjung membanjiri Pesta Tanglung Bahagian Mukah 2026, mencatatkan peningkatan kehadiran berbanding penganjuran tahun sebelumnya. Pesta yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada

BERITA TERBARU

Fokus keperluan pendidikan luar bandar, kebajikan guru

JULAU: Sebanyak RM50,000 disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No.2 bagi membolehkan pihak sekolah mendapatkan televisyen pintar (Smart TV) bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran

Hajat belum ternoktah

DUA kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan awal Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pastinya bukan permulaan yang diharapkan Kuching City FC, namun perjalanan The