MUKAH: Kira-kira 7,000 pengunjung membanjiri Pesta Tanglung Bahagian Mukah 2026, mencatatkan peningkatan kehadiran berbanding penganjuran tahun sebelumnya.
Pesta yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2022 itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Pesta tersebut menjadi platform kepada masyarakat Mukah daripada pelbagai latar belakang untuk berkumpul dan mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti.
Hanifah berharap acara berkenaan dapat diteruskan pada masa depan bagi mengeratkan hubungan masyarakat serta mengekalkan keharmonian yang menjadi keistimewaan Mukah.


Selain perarakan, pelbagai aktiviti dan persembahan turut disediakan bagi menghiburkan pengunjung sepanjang pesta berlangsung.
Penganjuran itu bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk untuk beriadah bersama keluarga, malah menjadi ruang interaksi antara masyarakat setempat menerusi sambutan kebudayaan yang kian mendapat perhatian.
Sebanyak 25 kontinjen membabitkan 795 peserta mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Antaranya ialah jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sekolah rendah dan menengah sekitar Bahagian Mukah.

Acara dimulakan dengan perarakan sejauh 1.6 kilometer mengelilingi kawasan pasar Mukah, dengan setiap kontinjen mengetengahkan kreativiti menerusi rekaan tanglung gergasi masing-masing.
Kepelbagaian bentuk, warna dan hiasan tanglung menjadi antara tarikan utama sepanjang perarakan berlangsung.
Ia turut mencerminkan kreativiti serta komitmen peserta dalam menjayakan acara tahunan berkenaan.




