MUKAH: Seorang buruh tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di belakang sebuah rumah panjang di Jalan Sibu–Bintulu, Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, suspek, 30, ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira jam 10.30 pagi hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis methamphetamine dalam simpanannya.
“Anggaran berat dadah yang dirampas adalah 0.43 gram dengan nilai dianggarkan RM110,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Tambah Rizal, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek direman selama empat hari sehingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Rizal menegaskan bahawa IPD Mukah komited dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah untuk menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.




