Butiran ibu bapa angkat dimasukkan dalam rekod kelahiran anak di Sarawak

KUCHING: Bermula Januari tahun depan, butiran ibu bapa angkat dan ibu bapa kandung akan dimasukkan dalam ‘Second Schedule Extract from the Central Register Record of Birth Sarawak of the Adoption (Central Registry) Regulations 1960’, persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak diberitahu hari ini.

Menteri Kebajikan,  Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata permohonan supaya dimasukkan butiran itu dibangkitkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang semasa sesi persidangan DUN yang lepas.

“Sebagai sebuah kerajaan yang penyayang, Kabinet Negeri Sarawak pada 11 Julai lepas meluluskan pindaan ini (Adoption Ordinance 1958),” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 pada persidangan DUN di sini semalam.

Pada masa ini, jadual kedua itu tidak memasukkan butiran berkenaan.

Fatimah berkata Kabinet bagaimanapun memutuskan untuk tidak meluluskan satu lagi permohonan oleh Chang untuk menaikkan had umur semasa untuk pengambilan anak angkat daripada 18 kepada 21 tahun.

“Ini disebabkan seksyen 10 Adoption Ordinance (1958 Edition) (Cap.91) memperuntukkan kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kabinet Negeri (MMKN) untuk menggubal peraturan bagi mengatur pengambilan anak angkat dewasa, sekiranya adat membenarkannya. Kementerian menerusi kerjasama dengan agensi dan pemegang kepentingan yang berkaitan, akan mengemukakan peraturan itu,” katanya.

Dalam perkara berasingan, beliau berkata lima Tadika Komuniti Penan di Long Leng, Long Kawa, Long Kerangan, Long Jenalong dan Ba’ Selulong yang dibangunkan menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat Petronas telahpun siap dan akan diuruskan oleh SeDidik Sdn. Bhd mulai 2020.

Ini, katanya, antara usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan akses kepada pendidikan awal terutamanya di kawasan luar bandar, dan bagi memastikan akses 100 peratus kepada pendidikan awal di seluruh negeri.

“Maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi tahun 2019, menunjukkan seramai 40,015 (97.41 peratus) daripada 41,078 kanak-kanak dalam Tahun 1 di Sekolah Kerajaan dan Swasta telah mengikuti pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Mengenai kenyataan kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan tadika KEMAS di negeri ini seperti yang dibangkikan oleh seorang ADUN, beliau berkata kementeriannya perlu mengadakan kajian menyeluruh terlebih dahulu kerana tadika itu terletak di bawah kerajaan Persekutuan. – Bernama

Suara Sarawak