SUPP ikrar kekal relevan, terus beri khidmat

Trending

Cabaran berniaga kek

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Minat membuat kek dan berkeinginan untuk membuka perniagaan sendiri menyebabkan Sunita Abdullah, 53 mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan kek lapis.

Setelah bekerja dengan orang lain selama beberapa tahun, dia membuka perniagaan sendiri pada tahun 2012 yang dinamakan sebagai Sunita Kek Lapis.

Sunita telah berniaga pelbagai jenis atau perisa kek lapis seperti red velvet, candy cheese, lumut, horlick chip, strawberry cheese dan banyak lagi jenis lain.

Kek-kek ini pula dihasilkan menggunakan resipi ciptaan Sunita sendiri.

“Saya menggunakan resipi sendiri untuk membuat kek.

Resipi tersebut pula tidak bertulis,” kata Sunita mengenai resipi ciptaannya.

Sunita turut menambah bahawa dia perlu menggunakan gred telur tertentu untuk membuat kek iaitu telur Gred AA yang berharga RM21 untuk satu dulang.

“Saya menggunakan telur Gred AA untuk membuat kek.

Kalau saya guna gred lain seperti Gred A, tepung tidak dapat naik,” tambahnya lagi.

Peningkatan harga barang pada masa ini juga merupakan cabaran bagi Sunita untuk memastikan kelangsungan perniagaannya.

Baca lain  Terus bantu wanita jana pendapatan

“Semua bahan membuat kek kini naik harganya terutamanya yang paling mahal iaitu mentega.

Kemudian, telur ayam.

“Gula juga susah untuk didapati. Untuk tepung gandum, saya boleh dapatkannya daripada pembekal,” ujar Sunita.

Menurut Sunita, perniagaannya yang turut diuruskan oleh ahli keluarganya yang lain boleh dianggap lumayan kerana untung yang diperoleh boleh mencecah ribuan ringgit dalam setahun.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan saya memang boleh tahan dengan hanya berjual kek.

“Saya juga tidak perlu berniaga barang-barang lain,” ujar Sunita ketika ditemu bual di gerainya bertempat di Medan Niaga Satok Kubah Ria.

Siapa sangka, penularan wabak Covid-19 yang berlaku beberapa tahun lepas telah memberi kesan yang sangat besar kepada perniagaan Sunita.

Bukan sahaja Sunita Kek Lapis, tetapi juga perniagaan-perniagaan lain.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula menambahkan lagi kesulitan yang dihadapi oleh para peniaga.

Sunita Kek Lapis tidak dapat beroperasi seperti biasa akibat PKP.

“Pada waktu itu, kedai kami hampir lingkup.

Banyak barang kami,” luah Sunita kepada Suara Sarawak.

Baca lain  KWSP perlu berwaspada

Jika sebelum ini, dia boleh melakukan promosi seperti beli sebiji kek percuma dua biji kek atau tiga biji kek.

Tetapi kini, dia tidak boleh lagi berbuat demikian kerana keuntungan yang diperoleh kian merosot daripada sebelumnya.

Meskipun begitu, Sunita tidak menaikkan harga kek sebaliknya masih mengekalkan harga kek pada harga serendah RM10 untuk satu loaf.

Terdapat juga kek lain yang dijual dengan harga lain.

Contohnya, kek Hati Parek yang dijual dengan harga RM25 manakala kek Cadbury berharga RM30. 

Walaupun perniagaannya sudah kurang memperoleh keuntungan, namun Sunita masih berharap agar perniagaannya dapat berkembang dengan lebih maju pada masa mendatang.

“Perancangannya memang ada. Sekiranya perniagaan maju, saya berniat hendak membuka cawangan lain.”

“Jika tidak ada kemajuan juga selepas raya nanti, terpaksalah saya tutup Sunita Kek Lapis ini,” jelasnya apabila ditanya mengenai perancangan masa depan untuk perniagaannya.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

5 Jun 2023

Berita Terbaru