ARTIKEL

Cabaran besar menggapai langit mengakar bumi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETELAH teruk dibelasah, serta diasak kontroversi, sektor pendidikan negara berusaha bangkit dengan idealisme baharu.

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026- 2035 dengan iltizam bugar, diharapkan dapat meninggalkan episod gelap sejak sekian lama disebabkan – sekali air bah, sekali pantai berubah dalam sistem pendidikan negara.

Diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa jam sebelum tulisan ini dihasilkan, beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan itu mahu rancangan baharu ini tidak hanya berakhir di atas meja guru.

Beliau dahagakan hasil, dan berikrar untuk memantaunya secara bulanan untuk melahirkan generasi yang mampu menggapai langit dan memiliki akar yang kuat, kejap di bumi. 

Rancangan ini dedahnya, berteraskan prinsip karamah insaniah dengan pelajar yang dilahirkan kelak, tidak hanya pintar dan bijak tetapi memiliki kekuatan nilai, kacak akidah dan berakhlak mulia.

Untuk menggapai langit, sukatan pembelajarannya direka berteraskan bidang dan disiplin baharu, yang menjadi trend dunia masa kini.

Ini termasuklah teknologi baharu, digital, kecerdasan buatan, pemahaman tentang peralihan tenaga, STEM, TVET. Dan, pilihan jurusan ini akan didedahkan kepada para pelajar sejak usia awal.

Rancangan Pendidikan Negara ini, kata Anwar, perlu dilaksanakan segera, untuk memberi jaminan kepada anak-anak bangsa mendapat hasil yang ranum lebih awal.

Apatah lagi pada era hari ini, teknologi baharu, termasuk digital dan AI telah dicapai dan dikuasai oleh anak-anak ini pada usia yang terlalu muda.

Benar, kita terpaksa akui mereka telah menguasai kemahiran digital pada usia empat ke lima tahun, berikutan pendedahan awal kepada teknologi itu oleh ibu bapa moden.

Selain itu, hari ini adalah masa yang paling sesuai untuk reset dan melakukan intervensi sistem pendidikan negara setelah terganggu apabila berlakunya COVID-19.

Hampir dua tahun belajar di rumah tanpa bersemuka dan bersekolah secara dalam talian, menjadikan generasi yang yang terlibat sedikit ketinggalan, dan terganggu.

Oleh itu, amat difahami apabila Perdana Menteri mengerahkan tindakan segera rancangan ini, dengan memulakan persekolahan seawal anak-anak berumur lima tahun untuk prasekolah dan enam tahun untuk Darjah 1.

Beliau memahami kesan teknologi, dan persekolahan ini memberi ruang pembelajaran lebih awal sementelah anak-anak kini telah matang lebih awal.

Seperkara yang menarik, mulai tahun ini (2026), Sistem Matriks Pembelajaran Malaysia diperkenalkan.

Sistem ini membawa maksud penilaian atau peperiksaan ini dikembalikan.

Tetapi bezanya, ia dimulakan dengan pelajar darjah empat sekolah rendah, tidak seperti Darjah 6 sebelum ini (Ujian Penilaian Sekolah Rendah – UPSR) atau Darjah 5 ketika era penulis (Penilaian Darjah 5).

Biarpun ia seolah-olah mengiakan dasar flip-flop Kementerian Pendidikan, namun sekurang-kurangnya ia akan menjadi pentaksir pencapaian anak-anak dalam pembelajaran di peringkat awal (seawal sekolah rendah).

Untuk memperlihatkan sama ada mereka mampu menguasai apa yang diajar, atau memerlukan intervensi cara lain untuk meneruskan pembelajaran.

Benar kata Anwar, mengapa perlu tunggu Darjah 6 bagi menguji Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah?

Dua tahun berikut katanya, boleh digunakan untuk membaiki kelemahan murid-murid terlibat, yang masih belum bersedia.

Pun begitu di Sarawak, usaha ini telah diadakan menerusi Ujian DLP (Dual Language Programme) untuk murid Darjah 6, dan berjaya.

Diharapkan, keputusan Kementerian Pendidikan ini tidak menjadikan ujian di Sarawak ini dihapuskan, kerana ia sebenar banyak membantu akan-anak Sarawak untuk lebih bersedia sebelum mereka memasuki alam sekolah menengah.

Seperkara menarik mengenai rancangan baharu ini ialah penerapan kepada Bahasa Melayu.

Ia menuntut semua sistem pendidikan dalam negara ini menetapkan dan mewajibkan Bahasa Melayu berdasarkan kurikulum kementerian, termasuk sehingga Sijil Pelajaran Malaysia, tidak kira sama ada di sekolah antarabangsa, Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz mahupun sekolah Cina dan Tamil.

Menerusi rancangan ini, Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia diwajibkan di Sekolah Antarabangsa, Sekolah Agama Rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC.

Dengan kaedah ini, jalur mereka untuk pergi ke pendidikan tinggi tidak lagi harus menjadi kontroversi, dan akan seluruhnya berdasarkan merit.

Anwar juga bertindak bijak sebenarnya kerana di samping keutamaan kepada bahasa Melayu, beliau juga menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa kedua.

Ia penting katanya, memadangkan Malaysia merupakan sebuah negara dagang, yang transaksinya kini mencecah RM3 trilion.

Maka, penguasaan bahasa Inggeris itu penting untuk menjamin masa depan anak-anak di ruang dan medan antarabangsa.

Keputusan ini sebenarnya sudah bertahun dilaksanakan di Sarawak dan ia diterima baik di semua peringkat, tanpa mempedulikan usikan dan kritikan pihak luar.

Ia malah menjadikan rakyat wilayah ini lebih berkeyakinan, tanpa mengurangkan penguasaan mereka terhadap bahasa Melayu.

Cuma realitinya, generasi muda hari ini yang lebih terdedah kepada bahasa Inggeris.

Puncanya, pendedahan kepada media sosial pada usia terlalu muda, menyebabkan mereka gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Malah tinjauan penulis sendiri mendapati ada dalam kalangan mereka lebih memahami bahasa jiran, Indonesia kerana terdedah kepada penerbitan media sosial dari negara seberang.

Ada banyak lagi kandungan dalam rancangan pendidikan ini termasuk menjadikan tingkatan enam di sekolah awam dan swasta, sebagai sebahagian daripada alam universiti dan akan dikendali dan dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ini seharusnya dilaksanakan lama dahulu.

Yang pasti, Anwar ternyata mahu mentransformasi pendidikan negara secara besarbesaran.

Ia bagi menyediakan generasi muda negara ini kepada pasaran dan keperluan masa depan.

Benar, untuk berada di masa depan, kita perlu terbuka kepada teknologi, ikut trend dan tidak harus berfikiran parokial.

Rancangan ini bukan yang pertama, tetapi perubahan yang dicadangkan kali ini begitu besar dan mendasar.

Bukan sekadar menukar warna kasut, menentukan pakaian berwarna warni, bertali leher, serta berlencana bendera.

Ia jauh lebih dari itu.

Langkah seterusnya mungkin perincian pada kandungan subjek agar ia lebih relevan dan mampu menyediakan generasi muda kita dengan ilmu yang sepatutnya.

Tetapi yang penting ia haruslah melalui daya tahan yang lama, kerana telah ditekun oleh begitu banyak pakar.

Jangan nanti, bila menteri berubah, perdana menteri bertukar, rancangan turut terkubur atau bertukar.

Flip-flop ini akan menjadikan sektor pendidikan sebagai bahan lawak.

Malah akan menjadikan sistem pendidikan negara sukar dipercayai, seperti yang disebut berkali-kali oleh almarhum Pehin Sri Adenan Satem dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Semoga impian menggapai langit berakar di bumi ini menjadi kenyataan.

Dan, semoga rancangan yang akan menjadi dasar baharu ini juga bertahan lama — sekurang-kurangnya untuk tempoh 25 tahun akan datang.

Tiada lagi sekali air bah, sekali pantai berubah.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU