HUJAN lebat hampir 10 jam di Bahagian Kuching semalam seolah-olah menangisi pemergian tahun 2025.
Ia membawa kenangan manis dan pahit sepanjang 8,760 jam yang lalu.
Hari ini kita bermula lagi, dengan 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026, bagi melengkapkan 365 hari yang menjanjikan serba kemungkinan.
Sama ada apa yang dihajati tahun lepas tercapai atau sebaliknya, yang pasti 2025 tidak akan kembali.
Sudah menjadi tradisi masyarakat kita untuk menetapkan azam setiap kali tahun baharu, walaupun realitinya ia tidak semestinya dilakukan setiap kali tahun berubah.
Namun dalam konteks pendorong motivasi, ia sangat baik untuk memperbaiki diri. Ini kerana jika dilakukan dengan betul, dan penuh komitmen, ia mampu memberi perubahan besar dalam kehidupan seseorang.
Azam tahun baharu, merupakan peluang terbaik untuk muhasabah diri, menetapkan hala tuju kehidupan.
Setiap azam yang berjaya akan membangkitkan kebahagiaan dan kepuasan.
Hari ini juga akhbar Suara Sarawak memasuki tahun kelapan, usia yang masih terlalu muda bagi seorang manusia, namun tidak bagi sebuah akhbar.
Kami perlu bergerak pantas, menuju kematangan sebaik mula beroperasi pada 1 Mac 2019.
Hari ini juga akhbar ini berubah wajah, dari segi reka letak.
Malah halaman 8 ini juga berubah, daripada Pemikiran kepada Sudut Pandang, perubahan yang menjadi sebahagian daripada azam baharu kami.
Tanpa disedari, tujuh tahun sudah berlalu.
Dalam tempoh tersebut juga akhbar ini sudah pun memenangi pelbagai anugerah, terutama 159 Anugerah Kewartawanan Kenyalang, yang memberikan habuan lumayan.
Dengan kemenangan sebanyak itu, mungkin Suara Sarawak boleh dipertimbang untuk dimasukkan dalam Buku Rekod Guiness, sebagai akhbar termuda yang menang anugerah terbanyak.
Lebih menarik wartawan Suara Sarawak turut memenangi anugerah utama, Anugerah Premier Sarawak, atau dahulunya dikenali sebagai Anugerah Ketua Menteri, sebanyak empat kali, yang membawa pulangan RM20,000.
Yang pasti, ia bukan mudah, dan menuntut perancangan rapi, serta strategi.
Daripada pemilihan isu, sehinggalah kepada penyelidikan fakta dan data yang serba lengkap.
Malah gaya bahasa, tatabahasa dan kosa kata juga diambil berat.
Kami beruntung kerana akhbar ini mempunyai tenaga profesional yang bukan calang-calang, banyak memberi panduan dan teladan kepada wartawan dan editor.
Hakikatnya, kita akan sentiasa belajar apabila memasuki bidang ini, bagi meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
Seperti yang dikatakan oleh mantan Tokoh Wartawan Malaysia, Allahyarham Datuk A. Samad Ismail, bahawa wartawan ibarat kelapa tua; “semakin tua semakin banyak santannya”.
Beliau dipetik sebagai berkata; ilmu asas kewartawanan ialah membaca sebanyak mungkin, termasuk buku, novel, jurnal, dan seumpamanya.
Ujarnya lagi, hanya dengan banyak membaca, kita boleh meneroka pelbagai ilmu dan maklumat, yang akan menjadi asas pengetahuan seorang wartawan.
Malah katanya, wartawan mesti dua tiga langkah ke hadapan daripada orang biasa, dalam konteks ilmu semasa, mahupun pengetahuan sejarah.
Kematangan dan pengetahuan seseorang wartawan seiring usia dan masa.
Proses pembelajaran wartawan adalah berterusan.
Namun ia bergantung kepada kehendak dan cita-cita masingmasing.
Suara Sarawak bukan sekadar sumber maklumat terkini yang dipercayai, tetapi sebagai sebuah organisasi korporat yang tidak terkecuali daripada tanggungjawab sosial, sebagai tempat pelajar tahun akhir dari pelbagai universiti di Malaysia, untuk menimba ilmu selama tiga hingga sembilan bulan.
Mereka ini dikenali sebagai wartawan pelatih, yang akan bergerak seiring dengan wartawan Suara Sarawak.
Dengan konsep “menang-menang” wartawan pelatih dianggap sebagai staf Suara Sarawak, yang turut menyumbang dalam penulisan berita, rencana dan seumpamanya.
Malah dalam kalangan mereka yang cemerlang, akan diambil bekerja sepenuh masa bersama akhbar ini.
Oleh itu, Suara Sarawak, sebagai salah satu tempat pilihan siswazah untuk menabur bakti.
Sama ada suatu hari nanti anda akan menjadi wartawan atau sebaliknya, bukanlah persoalannya, kerana ilmu wartawan sedikit banyak menjadi ‘batu loncatan’ ke mana-mana anda pergi selepas ini.
Sebagai salah sebuah organisasi media berpengaruh di Bumi Kenyalang akhbar ini sentiasa membuka pintu setiap tahun untuk berkongsi ilmu dengan pelajar universiti.
Ia kerana inilah generasi yang akan mengambil alih suatu hati nanti, kerana dunia wartawan juga seperti kerjaya yang lain, yang lama akan berlalu pergi dan yang baharu akan datang lagi, “patah tumbuh hilang berganti”.
Hakikatnya, dunia wartawan tidak pernah sepi daripada cabaran.
Era dunia digital menuntut wartawan bergerak solo dengan peralatan, capaian Internet yang baik dan telefon pintar dalam usaha bersaing dengan wartawan warga.
Wartawan warga adalah kelompok yang mengambil inisiatif sendiri melaporkan dan mengulas mengenai isu-isu yang mereka bimbang, dan untuk itu, mereka menggunakan alat-alat yang terdapat di Internet.
Hal ini menyaksikan wartawan profesional perlu segera bertindak sendiri dalam membuat sesuatu keputusan sekiranya secara kebetulan berdepan kejadian atau tragedi yang mampu dijadikan sebagai laporan berita.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Dato Dr Chamil Wariya menjelaskan; “wartawan sekarang perlu sentiasa bersedia dan bijak dalam membuat keputusan sendiri.
Apabila mampu berdikari, maka ia akan menjadi nilai tambah untuk bersaing dengan wartawan lain dalam menghasilkan laporan eksklusif”.
Di samping itu, wartawan juga harus tahu senarai nama wartawan atau editor ternama yang berkaliber, sama ada di peringkat tempatan atau nasional.
Adalah sangat penting untuk sentiasa membaca tulisan mereka, sama ada berita atau rencana.
Ini kerana tulisan mereka biasanya luar biasa, yang tidak ada pada tulisan wartawan biasa.
Ia adalah salah satu proses pembelajaran.
Hakikatnya, pahit manis dunia kewartawanan sentiasa menjanjikan ‘nikmat’ yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Realitinya, dunia wartawan tidak pernah sepi daripada cabaran dan harapan.
Selamat menyambut 2026.
Apa azam baharu anda?



