Kelmarin agensi berita popular dunia, AFP melaporkan selatan Mexico sebagai lokasi paling berbahaya bagi wartawan. Mereka sentiasa terdedah kepada risiko ugutan, ancaman bunuh dan kematian.
Salah seorang wartawan Mexico, Julio Cesar Zubillaga menggigil sebaik anak perempuannya bertanya; “kenapa ada pihak yang mahu membunuh ibu”.
Ia berlaku selepas rakan Zubillaga, yang juga wartawan menjadi mangsa pembunuhan.
Zubillaga yang bertugas sebagai pengarang akhbar dikenali ramai, Lar Tarde turut menerima ancaman bunuh dan serangan bersenjata di pejabatnya.
Ia memberi gambaran keadaan di selatan Mexico sebagai antara wilayah paling berbahaya di negara itu, malah paling bahaya di dunia bagi wartawan.
Menurut sumber daripada kumpulan wartawan di Mexico, sejak tahun 2000, sekitar 100 wartawan Mexico dibunuh, namun 92 peratus daripada kes tersebut belum diselesaikan.
Apa yang berlaku di selatan Mexico amat menakutkan.
Sebagai wartawan di Malaysia kita amat bersyukur kerana tidak terdedah dengan ancaman sedemikian.
Malah wartawan kita juga boleh bergerak bebas ke segenap penjuru negara, tanpa gangguan atau ancaman, mencari sumber berita atau rencana.
Apa-apa sahaja yang menarik dan eksklusif boleh dijadikan bahan untuk mengisi ruang media cetak, digital atau platform elektronik asalkan tidak keluar daripada etika kewartawanan dan tidak melepasi sempadan yang boleh mencetuskan perbalahan perkauman atau keagamaan.
Persaingan media, sama ada di peringkat global mahupun lokal, amat berbeza berbanding 10 tahun yang lalu.
Sebelum teknologi menguasai dunia, media sentiasa bersaing, terutama media tradisional seperti akhbar cetak yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadi nombor satu.
Mereka bersaing dari segi kandungan berita, rencana, cerita eksklusif, gaya penulisan serta aspek reka letak.
Namun kini persaingan agak kurang, kerana kebanyakan media lebih gemar memilih untuk bekerjasama, sesuai dengan keadaan sekarang ini, yang menyaksikan kebanyakan maklumat sudah berada di hujung jari, menyebabkan istilah “berita eksklusif” hampir lenyap.
Tetapi hakikatnya, cabaran wartawan tetap sama, lebih-lebih lagi bagi wartawan muda.
Bagi mereka yang rajin dan sentiasa gigih menggali ilmu, maka peluang untuk berjaya lebih cerah dan lebih cepat.
Ini kerana kerjaya kewartawanan sentiasa terbuka luas, bukan hanya untuk media cetak, tetapi pelbagai cabang media yang lain.
Masih banyak ruang yang perlu diisi.
Malah wartawan senior atau editor juga tidak kurang cabarannya.
Ini kerana proses pembelajaran dalam dunia kewartawanan tidak pernah berhenti, selagi anda bekerja, maka selagi itulah anda akan terus belajar, belajar dan belajar.
Antara cabaran wartawan senior ialah mendidik wartawan muda sehingga mereka bergelar ‘otai’ suatu hari nanti.
Ia penting bagi memastikan kesinambungan pakar dalam bidang kewartawanan akan berterusan, selagi wujudnya dunia media.
Yang pasti, wartawan di negara kita tidak perlu berdebar-debar seperti wartawan di selatan Mexico setiap kali menjalankan tugas.
Apa yang penting adalah sentiasa dahagakan ilmu dan bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dan tugasan yang diarahkan oleh editor atau pihak pengurusan.
Malah perlu ada disiplin diri yang tinggi dan sentiasa mempunyai sikap untuk belajar dan menimba ilmu.
Sebagai wartawan anda perlu sentiasa berada di hadapan orang kebanyakan dari segi informasi dan pengetahuan.
Kalau tidak, anda tidak layak bergelar wartawan.
Walaupun banyak cabaran dan rintangan yang perlu diharungi, namun kerjaya wartawan sentiasa menjanjikan kepuasan yang tidak ada pada kerjaya lain.
Itulah keistimewaan wartawan.



