KOTA SAMARAHAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) Philip Jabu menegaskan, tiada masalah untuk pihaknya menjadikan Cabaran Futsal Sarawak 2023 sebagai kejohanan tahunan pada masa akan datang.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut perlu dilihat secara menyeluruh sebelum memuktamadkan keinginan tersebut.
“Kita akan melihat dari pelbagai sudut. Memang ada keinginan mahu menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan. Di pihak kita tiada masalah untuk melaksanakannya,” kata Phillip pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Cabaran Futsal Sarawak 2023 di Stadium Tertutup Kota Samarahan sebentar tadi.
Phillip akui, sekiranya ada penganjuran kejohanan sama selepas ini, mungkin akan berlangsung di Serian.
Cabaran Futsal Sarawak 2023 dianjur SFA dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berlangsung selama dua hari pada 18 dan 19 November.
Sebanyak 32 pasukan berentap bagi memburu kejuaraan edisi sulung itu.
Hadiah menarik disediakan termasuk wang tunai berjumlah RM10,000 berserta piala dan pingat untuk sang juara.


