Cabaran mengajar anak di rumah

MENGAJAR anak di rumah sudah menjadi salah satu cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa di rumah.

Sejak penularan wabak Covid-19, salah satu sektor yang tidak beroperasi ialah sistem pendidikan negara.

Taska, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi telah diberhentikan sementara sebelum ini untuk mengawal penularan wabak itu dalam kalangan para pelajar.

Tambahan pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan ia tidak membenarkan orang ramai keluar dari rumah, menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain selain mendidik sendiri anak-anak di rumah.

Mengajar anak-anak di rumah sudah pasti mewujudkan suasana yang berbeza.

Hubungan anak dan ibu bapa yang rapat menjadikan proses mengajar itu sukar.

Tidak seperti seorang guru, anak-anak lebih takut dan mendengar arahan guru mereka di kelas.

Di rumah, sekiranya ibu bapa tidak tegas, proses mengajar itu hanya menjadi sia-sia.

Yang kedua ialah gangguan yang berlaku di dalam rumah.

Berbeza dengan kelas, di rumah terdapat banyak perkara lain yang mengubah fokus anak-anak ketika belajar.

Antaranya termasuklah telefon pintar, televisyen, permainan, makanan, bilik tidur dan sebagainya. Ini menjadi sukar kerana di rumah anak-anak lebih selesa bermain dan menonton televisyen kerana mereka berpendapat di kelas semua kemudahan ini tidak dapat dikecapi.

Malah kecenderungan anak-anak terhadap teknologi semasa seperti telefon pintar menjadikan mereka tidak minat belajar bersama ibu bapa.

Yang ketiga, profesion seorang guru bukanlah sesuatu yang boleh didapati di mana-mana.

Setiap individu yang digelar guru telah dilatih dan mempunyai kemahiran tertentu semasa mengajar muridnya.

Jadi, apabila ibu bapa bertindak sebagai guru bagi sesuatu mata pelajaran ia bukan suatu tanggungjawab yang senang. Kemahiran mengajar dan teknik-teknik pembelajaran adalah sesuatu yang sukar bagi ibu bapa.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak-anak yang masih kecil di taska dan tadika.

Malah ada sesetengah anak-anak hanya mendengar arahan daripada guru berbanding arahan ibu bapa berkenaan sesuatu tugasan sekolah.

Bagi menyelesaikan masalah ini, ibu bapa tidak boleh berputus asa hanya kerana anak-anak tidak mahu diajar oleh mereka.

Terdapat pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk menarik perhatian anak-anak untuk belajar.

Salah satu kaedah yang berkesan ialah sistem ganjaran. Ibu bapa perlu kreatif memancing minat dan kecenderungan anak mereka terhadap sesuatu perkara.

Sebagai contoh, sekiranya anak-anak gemar makan aiskrim maka kelebihan ini boleh dijadikan salah satu cara untuk mendapatkan perhatian anak-anak untuk belajar.

Selain itu, tetapkan tempoh untuk anak-anak belajar. Sekiranya kita sedar bahawa anak-anak cepat berasa bosan dan hilang tumpuan, maka tetapkan tempoh belajar selama 30 minit ke satu jam.

Ia memadai. Perkara yang penting semasa mereka belajar ialah fokus. Apabila mereka fokus, memekan akan memahami dengan lebih mudah perkara yang mereka pelajari.

Di samping itu, bagi ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran mengajar anak-anak, mereka juga perlu belajar. Proses pembelajaran seharusnya bukan terletak di bahu anak-anak sahaja.

Tunjukkan kerjasama untuk sama-sama mencari jawapan yang tepat bagi soalan tersebut di hadapan anak-anak agar mereka boleh berkembang dan menghasilkan idea-idea baharu menjawab soalan.

Pemilihan tempat belajar juga penting bagi proses pembelajaran.

Sekiranya ibu bapa mempunyai ruang rumah yang sesuai untuk belajar maka gunakan peluang ini untuk menarik perhatian anak-anak supaya mereka berasakan diri berada di kelas.

Hiaskan ruang tersebut dengan poster atau peralatan pembelajaran yang sesuai.

Ini akan memberi keyakinan kepada mereka untuk belajar dan tidak hilang tumpuan.

Walaupun keadaan ini menjadi cabaran kepada ibu bapa, namun kepentingan pembelajaran anak-anak perlu diutamakan.

Lebih-lebih lagi apabila anak-anak ini telah lama tidak bersekolah.

Sebelum ini pihak kerajaan memberitahu, mereka bakal membuka sesi persekolahan secara berperingkat.

Tidak salah sekiranya ibu bapa membuat persediaan rapi sebelum anak-anak menghadapi sesi persekolahan mereka pada masa akan datang.