SARATOK: Cadangan pembinaan jejambat di simpang utama Saratok sekali lagi dibangkitkan susulan peningkatan kes kemalangan di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan, pembinaan jejambat di simpang tersebut merupakan satu keperluan mendesak yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan.
“Mewakili lebih 40,000 penduduk di kawasan ini, saya sekali lagi memohon agar jejambat dibina di simpang Saratok dalam masa terdekat, memandangkan kekerapan kemalangan yang berlaku, khususnya akibat pusingan-P yang terlalu hampir dengan persimpangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo dalam lawatan kerja ke Pakej A5 Jalan Utama Kedua di Simpang Roban, hari ini.
Mengulas mengenai projek Pakej A5 Jalan Utama Kedua yang menghubungkan Jambatan Batang Saribas Dua ke Persimpangan Roban, beliau menyifatkan pembinaan jalan baharu itu sebagai satu inisiatif penting yang dinantikan rakyat.
“Laluan ini lebih pendek untuk ke Simpang Roban (Lebuh Raya Pan Borneo) dan pastinya memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat dari segi penjimatan masa serta kelancaran perjalanan.
“Kita merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, iaitu menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, ADUN Krian, Friday Belik berkata, pembinaan Jalan Utama Kedua sepanjang 28.5 kilometer itu bakal menyediakan alternatif baharu kepada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
“Terima kasih kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha membangunkan jalan ini.
“Selain memendekkan jarak perjalanan, ia juga mampu mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Pan Borneo serta meningkatkan tahap kesalinghubungan kawasan.
“Malah, saya yakin pembinaan jalan ini akan membuka lebih banyak kawasan pertanian baharu sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan,” tambahnya.

