ARTIKEL

Doris menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu Tahun 2026, di sini, semalam. Gambar UKAS

Cadang bina sekolah menengah baharu di Pantu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PANTU: Cadangan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu bagi menampung keperluan pendidikan pelajar di Daerah Pantu pada masa hadapan kini dalam peringkat perancangan bersama pihak berkaitan.

Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Sri Doris Sophia Brodie berkata beliau telah membangkitkan cadangan itu semasa persidangan Parlimen dan ia kini dalam perancangan bersama pihak yang terlibat.

“Cadangan pembinaan sekolah telah dibincangkan bersama Pejabat Daerah Pantu serta ketua masyarakat setempat dalam satu mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Pantu baru-baru ini.

“Walaupun pembinaannya mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, namun perancangan tersebut telah dibuat dan usaha ke arah merealisasikannya akan terus dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu Tahun 2026 di sini semalam.

Dalam hal berkaitan, Doris turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti merupakan faktor penting dalam memastikan kejayaan sistem pendidikan, khususnya di peringkat akar umbi.

“Sokongan berterusan daripada ibu bapa melalui platform PIBG mampu membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pencapaian akademik murid.

“Usaha ini turut membentuk sahsiah yang seimbang dan berdaya saing,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya PIBG memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara pihak sekolah dan ibu bapa.

“Melalui kerjasama yang erat, kita dapat memastikan setiap murid mendapat sokongan terbaik untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Tabung PIBG SK Pantu bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program pendidikan serta pembangunan murid di sekolah berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU