ARTIKEL

FB Kelvin Yii Lee Wuen

Cadang wujudkan Daftar Kebangsaan Cerebral Palsy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan perlu mewujudkan Daftar Kebangsaan Cerebral Palsy bagi mendapatkan data yang lebih komprehensif mengenai prevalens penyakit itu serta memperkukuh perancangan dasar dan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan seramai 1,076 kanak-kanak dengan Cerebral Palsy (CP) menerima perkhidmatan intervensi awal di klinik kementerian di seluruh negara sepanjang tempoh 2016 hingga 2025, angka itu belum menggambarkan beban sebenar penyakit berkenaan.

Menurutnya, ramai pesakit masih mendapatkan rawatan di luar fasiliti KKM atau tidak direkodkan dalam sistem pelaporan sedia ada.

“Penubuhan daftar ini akan menjadi asas kepada penggubalan dasar berasaskan bukti dengan menyediakan data yang tepat mengenai prevalens dan taburan geografi Cerebral Palsy di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daftar itu turut membantu mengenal pasti trend dan faktor risiko yang boleh diubah, memperkukuh usaha diagnosis serta intervensi awal, mengunjurkan keperluan pemulihan, pendidikan dan penjagaan sosial pada masa hadapan, selain menyokong penyelidikan klinikal.

Katanya, data yang komprehensif juga akan membolehkan sumber kesihatan dirancang dan diagihkan dengan lebih berkesan berdasarkan keperluan sebenar pesakit.

Dalam pada itu, Kelvin turut mencadangkan kerajaan mengkaji semula peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi mewujudkan satu rangkaian One Healthcare Network untuk perkhidmatan rehabilitasi.

“Kanak-kanak yang hidup dengan Cerebral Palsy memerlukan rawatan rehabilitasi multidisiplin sepanjang hayat yang melibatkan pakar rehabilitasi, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, ahli terapi pertuturan, pakar ortopedik, pakar psikologi dan pakar pemakanan.

“Bagaimanapun, perkhidmatan rehabilitasi di fasiliti awam masih berdepan tempoh menunggu yang panjang, kekurangan tenaga profesional khusus, akses terhad kepada kemudahan rehabilitasi moden serta jurang penyediaan perkhidmatan di seluruh negara,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan wajar memperkukuh kerjasama antara KKM, Hospital Rehabilitasi PERKESO dan pusat rehabilitasi swasta yang diiktiraf bagi membolehkan pesakit menerima rawatan berdasarkan keperluan klinikal, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan rehabilitasi.

“Langkah itu akan membantu membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih terselaras, saksama dan berpusatkan pesakit, di samping memberi sokongan lebih menyeluruh kepada kanak-kanak yang hidup dengan Cerebral Palsy serta keluarga dan penjaga mereka,” ujarnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU