ARTIKEL

Kaunselor Nyireng Saleh

Cadangan DUN Bukit Arip: Harapan Baharu Rakyat Pedalaman Selangau Kepada SPR

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELANGAU: Bagi masyarakat pedalaman Selangau, pewujudan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baharu Bukit Arip bukan sekadar soal menambah jumlah kerusi pilihan raya, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan suara rakyat di kawasan luas dan mencabar dari segi geografi terus mendapat perhatian.

Cadangan yang lama menjadi aspirasi penduduk sejak 2014 itu kini kembali diketengahkan dengan harapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menilai keperluan tersebut secara menyeluruh dalam proses persempadanan semula.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) N.59 Tamin merangkap Exco Pemuda Pusat PRS, Kaunselor Nyireng Saleh berkata, faktor keluasan kawasan taburan penempatan serta cabaran penyampaian pembangunan perlu menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan keperluan pewujudan DUN baharu.

Menurutnya, kawasan Tamin dan Kakus yang kini hanya diwakili dua wakil rakyat di peringkat DUN meliputi kawasan yang sangat luas, sekali gus memberi cabaran besar dalam memastikan keperluan rakyat terutama di kawasan pedalaman dapat ditangani secara lebih berkesan.

“Ini bukan permintaan yang berlebihan. Apa yang diharapkan ialah suara rakyat pedalaman diberikan perhatian dan pembangunan dapat disampaikan dengan lebih dekat serta berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kewujudan DUN Baharu Bukit Arip mampu memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan selain memberi ruang kepada pembangunan kawasan pedalaman dirancang secara lebih bersasar.

Menurut Nyireng lagi, kawasan seperti rumah panjang dan kampung yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas memerlukan perhatian berterusan, khususnya dalam aspek jaringan jalan raya, jambatan, tapak rumah panjang serta infrastruktur sokongan lain.

Nyireng berkata proses persempadanan semula tidak seharusnya hanya melihat kepada faktor jumlah penduduk semata-mata, tetapi turut mengambil kira realiti geografi khususnya di negeri seperti Sarawak yang mempunyai kawasan luar bandar yang luas dan penempatan berselerak.

Beliau berharap SPR dapat mempertimbangkan cadangan itu dengan melihat aspek keluasan geografi, cabaran pengangkutan, taburan penempatan serta keperluan pembangunan sebenar penduduk di kawasan berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU