ARTIKEL

Profesor Dr Novel Lyndon.

Cadangan Persempadanan 17 Kerusi Baharu DUN Sarawak Dijangka Cetus Pelbagai Pandangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kawasan bandar dan pinggir bandar dijangka mendapat perhatian sepanjang tempoh pameran awam cadangan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Sarawak susulan pertumbuhan penduduk serta peningkatan jumlah pengundi.

Penganalisis Sosiologi Politik, Profesor Dr Novel Lyndon berkata, antara kawasan yang dijangka menjadi tumpuan termasuklah Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Miri.

Katanya, sepanjang tempoh pameran awam itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin akan menerima pelbagai bantahan dan cadangan daripada pemilih, parti politik, pihak berkuasa tempatan serta pertubuhan masyarakat.

“Bagaimanapun, bantahan tersebut tidak semestinya bermaksud rakyat menolak penambahan 17 kerusi baharu. Sebaliknya, mungkin mempersoalkan kedudukan sempadan, jumlah pengundi, pemindahan kampung ke kerusi lain serta pertukaran nama kawasan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, pemilih juga mungkin mahu kerusi baharu dibentuk secara lebih seimbang untuk mengelakkan perbezaan jumlah pengundi yang terlalu besar antara satu kerusi dengan kerusi lain.

“Mereka juga akan menilai sama ada sempadan baharu benar-benar dapat mengurangkan beban wakil rakyat dan memudahkan penyampaian perkhidmatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kawasan seperti Mas Gading dan Puncak Borneo juga berkemungkinan menerima pandangan atau bantahan khususnya berkaitan pemisahan kampung dan pertukaran nama kerusi.

“Bagi masyarakat Bidayuh, nama seperti Opar, Tasik Biru dan Tarat mempunyai nilai sejarah serta identiti tersendiri. Justeru, sebarang perubahan nama perlu mengambil kira pandangan masyarakat tempatan,” jelasnya.

Sementara itu, di kawasan pedalaman seperti Baram, Kapit dan Lawas, isu utama mungkin bukan jumlah pengundi, sebaliknya keluasan kawasan, jarak perjalanan serta kesukaran perhubungan.

“Walaupun bilangan pengundinya lebih kecil, wakil rakyat perlu melayani penduduk yang tinggal berjauhan.

“Pemilih mungkin mencadangkan sempadan yang lebih praktikal berdasarkan jalan raya, sungai, pusat pentadbiran dan lokasi kemudahan awam,” jelasnya.

Beliau menegaskan, perhatian pemilih juga dijangka tertumpu kepada empat perkara utama iaitu keseimbangan jumlah pengundi, kedudukan kampung, kemudahan wakil rakyat dalam memberikan perkhidmatan serta pemeliharaan identiti kawasan.

“SPR perlu menilai bantahan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan dan bukan hanya berdasarkan angka atau peta.

“Proses yang terbuka dan telus penting supaya 17 kerusi baharu benar-benar meningkatkan mutu perwakilan rakyat dan tidak dilihat hanya menguntungkan pihak tertentu dari sudut politik,” katanya lagi.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU