ARTIKEL

BERCAKAP… Abdul Karim menjawab soalan pemberita seusai mengadakan sidang media sempena Sarawak Umrah dan Ekspo dan Festival Pelancongan Islam di Bangunan Baitulmakmur II. Foto: MOHD ALIF NONI

Cadangan Persempadanan Semula DUN Sarawak Sepatutnya Dilakukan Lebih Awal – Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan cadangan persempadanan semula bagi penambahan 17 kerusi DUN Sarawak disifatkan sebagai melepaskan batuk di tangga sekiranya gagal dimanfaatkan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi ketika usul penambahan 17 kerusi diluluskan DUN Sarawak lebih setahun lalu.

“Tindakan berkenaan sepatutnya dilakukan lebih awal kerana proses penambahan kerusi mempunyai prosedur tertentu sebelum cadangan berkenaan boleh melalui tindakan selanjutnya.

“Persoalannya, adakah baki tempoh dari Ogos hingga Februari 2027 mencukupi untuk menyelesaikan segala prosedur berkanun supaya kerusi baharu tersebut boleh digunakan dalam pilihan raya negeri akan datang?” katanya.

Beliau berkata demikian seusai mengadakan sidang media sempena Sarawak Umrah dan Ekspo dan Festival Pelancongan Islam di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, sekiranya tempoh pameran mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, sebarang bantahan perlu diteliti sebelum cadangan tersebut dapat dikemukakan kepada Parlimen untuk mendapatkan pengesahan secara rasmi.

“Sekiranya SPR dibenarkan untuk tidak mematuhi Akta Pilihan Raya dalam Perlembagaan, mungkin 17 kerusi boleh digunakan pada PRN kali ini. Namun, kita ada undang-undang tersendiri.

“Jadi, langkah ini bagi saya sekadar syok sendiri (menyedapkan hati) rakyat Sarawak sedangkan penambahan kerusi tersebut akhirnya tidak dapat ditunaikan,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Karim mengakui tindakan SPR itu sekurang-kurangnya memperlihatkan usaha, namun masih ragu-ragu sama ada kesemua 17 kerusi baharu dapat dipertandingkan dalam PRN akan datang.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa penambahan kerusi diperlukan kerana beberapa kawasan DUN di Sarawak mempunyai saiz hampir sama dengan sebuah negeri di Semenanjung Malaysia.

Sementara, SPR baru-baru ini mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak selaras dengan pertambahan 17 kerusi yang diluluskan.

Pameran cadangan pemetaan dijangka dipasang di pejabat majlis perbandaran, majlis daerah dan pejabat daerah di 31 kawasan Parlimen seluruh Sarawak.

TAMAT

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan